Kes Mohon Murtad Tiada Kesudahan


BARU-BARU ini umat Islam dikejutkan dengan isu pelancaran tudung berjenama di kelab malam dan ramai yang bersuara menyatakan tidak puas hati mengenai tempat pelancaran tudung yang sepatutnya perlu sinonim dengan kesopanan dan aurat.

Namun begitu, terdapat satu lagi isu yang kita agak terlepas pandang dan tidak pula heboh dibincangkan kesannya.

Isu yang tenggelam tetapi mempunyai kesan yang mendalam dan lebih signifikan ialah berkaitan permohonan keluar Islam di Mahkamah Persekutuan oleh empat orang beragama Islam di Kuching Sarawak. Keempat-empatnya mengaku sudah keluar Islam. Permohonan cuma untuk mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi beragama Islam.

Seperti dilaporkan oleh akhbar BH pada 27 Februari 2018 bertajuk 'Permohonan 4 individu dibatalkan' ialah kes membabitkan permohonan untuk perisytiharan keluar Islam. Mahkamah Persekutuan yang terdiri dari panel lima Hakim menolak permohonan perisytiharan keluar Islam itu.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa permohonan berkaitan di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Sarawak untuk diputuskan di Mahkamah Syariah.

Keputusan itu selaras kehendak Perlembagaan Persekutuan. Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa.

Bidang kuasa negeri

Selanjutnya Jadual Sembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa hal ehwal berkaitan Islam dan undang-undang Islam, termasuk adat Melayu adalah di bawah bidang kuasa negeri dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Sebenarnya isu permohonan perisytiharan keluar Islam bukan isu baharu di Malaysia, tetapi kisahnya tidak pernah berkesudahan. Berdasarkan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, istilah 'Melayu' antara lain bererti seorang yang beragama Islam. Noktah.

Diperhatikan di Mahkamah Syariah pula tiada peruntukan atau tata cara berkaitan permohonan keluar Islam. Pernah dahulu dicadangkan penggubalan undang-undang berkaitan pemulihan akidah dibincangkan, tetapi tidak dapat dipastikan sejauh mana dipertimbangkan.

Hal keluar Islam atau murtad, isu yang sangat sensitif kepada umat Islam. Secara dasarnya, seorang Islam tidak dibenarkan keluar Islam dan akan cuba dinasihat dan dipulihkan akidahnya.

Oleh itu, bagaimana bagi kes terdapat permohonan perisytiharan untuk keluar Islam? Mahkamah Sivil tidak berbidang kuasa mendengarnya dan Mahkamah Syariah tiada peruntukan mengenai permohonan seumpamanya.

Doktrin 'stare decisis'

Seperkara lagi yang perlu diketahui ialah dari segi undang-undang (Common Law), di Mahkamah Sivil, keputusan di mahkamah yang lebih tinggi mengikat mahkamah di bawah hierarkinya yang dipanggil doktrin stare decisis.

Ini bererti, keputusan Mahkamah Persekutuan mengikat kes yang dibicarakan di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Rendah (Mahkamah Sesyen dan Majistret).

Namun, keputusan Mahkamah Persekutuan setara antaranya. Ini bererti keputusan Mahkamah Persekutuan tidak mengikat Mahkamah Persekutuan yang lain pada masa akan datang, sekiranya ada permohonan seumpama ini.

Inilah yang dimaksudkan sebagai isu yang tidak berkesudahan. Oleh itu, isu permohonan untuk keluar Islam masih tidak muktamad dan tiada jaminan bahawa ia tidak akan dibawa lagi untuk diputuskan di Mahkamah Persekutuan, pada masa akan datang.

Sehubungan itu, perbincangan mendalam berkaitan perkara dan isu mengenai perkara ini perlu diperhalusi. Undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk mengawal tingkah laku dan akidah umat Islam, tetapi aspek lain seperti pendidikan dan kesedaran perlu diberikan lebih penekanan.

Penulis adalah Peguam Syarie negeri Perak

Sumber: BH Online