Keunikan Lepat Chica Di Kedah


ALOR SETAR - Menjelang musim kemarau di negeri Kedah merupakan masa yang dinantikan  penduduk di Pedu kerana mereka akan mengutip bunga chica yang dikatakan sedap untuk dibuat lepat.

Menurut Zuriati Ahmad, 48, penduduk kampungnya akan mengutip bunga chica itu yang dikatakan sangat istimewa ekoran hanya berbunga sekali sahaja dalam masa setahun.

“Bunga chica semakin pupus sebab pokoknya sukar didapati di kawasan ini apatah lagi tumbuhan itu merupakan spesies balak. Pokok ini kini dikatakan hanya ada di dalam hutan sahaja dan pokok yang ada sekarang di kampung ini akan kami jaga supaya generasi akan datang dapat merasai lepat chica.

“Selalunya bunga chica akan luruh pada waktu pagi pada jam 6 hingga 10 pagi sahaja dan akan berbau harum apabila mengutipnya. Baunya itu menyebabkan penduduk suka mengambilnya untuk dibuat lepat,” katanya.

Namun begitu, Generasi Y dan seterusnya kini kurang menyenali tentang lepat chica itu dan ia semakin terpinggir kerana kurang pendedahan kepada masyarakat luar dan bunganya pula sukar didapati.

Bagaimanapun sehingga kini penduduk di sini sentiasa mempertahankan kuih nenek moyang mereka terutamanya menjelangnya musim kemarau.

“Bahan untuk buat kuih ini pun mudah sahaja iaitu hanya guna tepung pulut, gula merah dan dicampur bunga chica,” katanya. - Kedahnews.com