ALOR SETAR - Sebuah kilang Ritz Biotechnology Development Sdn Bhd bakal dibina di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Fasa 3, di sini.
Pengurus Besarnya, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, kilang ini akan dibina di tanah seluas 2.9 hektar dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan serta dikatakan mula beroperasi pada suku pertama 2019.
Pembinaan tersebut menelan kos RM100 juta dan pastinya dengan pembinaan itu akan mempertingkatkan lagi penghasilan produk daripada herba guarana di pasaran antarabangsa.
"Kilang ini akan memproses semua hasil herba guarana yang ditanam di atas tanah seluas 20.2 hektar secara keseluruhan di Kedah, Pulau Pinang,Kelantan, Pahang serta Johor, dan dieksport ke luar negara.
"Kita akan mengeluarkan produk ekstrak guarana, minuman tenaga, esen dan produk utama kita ialah tepung guarana yang sudah mendapat pasaran di negara China," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Kilang Ritz Biotechnology Development Sdn Bhd serta Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Ritz Biotechnology dengan Kerajaan Negeri Sembilan.
Apa yang difahamkan Ibrahim, kilang tersebut adalah yang pertama memproses tepung guarana di dunia, dan yang pertama di Asia mengekstrak herba tersebut.
"Kita mendapat lesen eksklusif memproses tanaman ini dari kerajaan Brazil yang merupakan pengeluar utama herba guarana di dunia," katanya.
Tambah beliau lagi, setakat ini sebanyak satu bilion karton tepung guarana dieksport ke China ini dengan satu karton mengandungi 12 kilogram tepung.
"Kita harap dengan adanya kilang yang menggunakan teknologi tinggi ini akan melancarkan dan mempercepatkan pemprosesan produk daripada guarana yang kualitinya dikawal rapi," katanya.
Selain itu, syarikat ini juga akan membantu mentransformasikan ekonomi rakyat dengan pertanian pokok herba guarana ini.
"Bila kita ada kilang ini rakyat turut mendapat kesan ekonominya, mereka boleh mengusahakan pertanian ini dan hasiknya akan dibeli syarikat untuk menampung sumber bahan mentah itu," katanya. - Kedahnews.com