ANTARA keseronokan bertugas sebagai wartawan ialah menerima cenderamata atau lazim disebut sebagai door gift dalam kalangan petugas media ketika membuat liputan sesuatu program tertentu.
Ia biasanya dalam pelbagai bentuk atau saiz bergantung kepada bajet pihak penganjur seperti baju T, kole, payung, buku; malah ada yang agak bertuah mendapat produk mahal dan berjenama mewah contohnya gajet atau tablet.
Namun tidak kurang juga sekadar sebatang pen murah dan lebih berjimat cermat mungkin sebotol air mineral. Pun begitu, ada menerima door gift di luar jangkaan bahkan tidak terlintas di fikiran apatah lagi ‘lari’ daripada konsep.
Kisah lucu dikongsikan jurugambar Kumpulan Utusan, Mohammad Naim Firdaus ini menerusi akaun Facebook beliau semalam merupakan antara agak unik pengalaman wartawan menerima cenderamata yang mungkin pelik!
Lebih mesra disapa sebagai Naim dalam kalangan rakan media tempatan, beliau bercerita suatu tugasan yang tidak pernah dilupakan semasa kerja sebagai pasukan petugas perintis di pejabat Kosmo! Biro Pulau Pinang pada 2006.
Ketika itu kebetulan pada bulan Ramadan, Naim bersama-sama seorang wartawan, Rais Yeop Johari diarahkan oleh Penolong Ketua Biro, Amree Ahmad membuat liputan satu program parti hiburan yang bermula jam 8 malam.
Akhbar kompak itu meskipun baru dilancarkan pada 2004, cukup terkenal dalam kalangan warga Pulau Mutiara, malah bos biro tersebut yang dirujuk sebagai Pak Am amat disegani kerana sering memaparkan berita eksklusif.
Jom kita baca kisah menarik jurugambar profesional ini yang tidak menyangka mendapat cenderamata amat luar biasa sehingga terpaksa pihak penganjur memohon maaf akibat ‘kecuaian’ anggota jawatankuasa acara berkenaan:
Usai pendaftaran diberi door gift macam biasalah ada event ada la door gift, bergantung pada penganjur. Dalam beg kertas tu ada tiub getah ‘light tube‘.. Ahh masa tu cukup popular… Hempas atau picit keluar la cahaya gel tu…
Boleh sambung sambung… engkau nak buat rantai pun boleh. Aku dan Rais cukup sekadar minum coke ice, sambil menunggu program berlangsung. Sekejap mata liar mencari emcee (pengacara) kot la kejutan event nak buat…
Suasana agak suram sama macam ala ala suasana pelancaran hijab Neelofa tu, tapi lokasi ini sebuah banglo. Sedang menunggu kami godek la isi beg kertas tu. Dalam tu ada juga sebuah kotak nipis… Kami sangkakan kotak name card.
Biasalah zaman tu tengah trend dan juga kalau kotak kecil tu isi dalam USB pendrive 512KB. Ahh kira untung dapat, dulu mahal ni… story transfer (hantar berita) pun pakai disket… pix (gambar) pula guna FTdial-up.
Elok je samar samar lampu kami belek kotak hitam tu… Perghhh Durex Glow in The Dark! Dhemmm! Rais sergah aku, terkejut kami dapat door gift yang kami rasa tidak sepatutnya kami dapat… Event apa ni sebenarnya..
Sudahlah dijemput pakai mesin fax. Masa tu kami sahaja wakil media yang hadir. Aku bingkas ingin pastikan apa kami dapat adalah kesilapan. Aku pergi ke meja pendaftaran semula, tapi kali ini bagitahu nama media lain pula.
Begitu juga Rais, sama juga apa yang kami dapat. Aku terus merakamkan apa yang patut dan kami terpaksa bergegas pulang ke ofis untuk memaklumkan apa berlaku. Tak tungggu habis pun… Biasanya Pak Am balik lewat…
Lusa terpampang muka hadapan Kosmo! dengan laporan yang kami pergi malam kelmarin. Penganjur menelefon memohon maaf atas kesilapan memalukan dengan door gift diberikan itu sebenarnya untuk pengunjung event.
Naim yang pernah berkhidmat dengan beberapa organisasi media sebelum itu turut menulis bahawa selepas berita panas tersebut disiarkan, pihak penganjur segera ada hubungi dan berjanji tidak ulanginya pada masa hadapan.
Pak Am kemudian kembali ke ibu pejabat syarikat akhbar ternama itu di ibu negara sebelum berhenti untuk berniaga manakala Rais turut melepaskan jawatan selepas beberapa tahun untuk bertugas dalam sektor lain pula.
Walau apa pun, kisah lucu itu menjadi kenangan mereka yang tidak mungkin boleh dilupakan sampai bila-bila dalam senario media arus perdana perlu bersaing sengit mahu mendapatkan berita eksklusif. –Kedahnews.com