KJ Silap Pakai Sarung Kaki Berlainan Tarik perhatian


SHAH ALAM - Penampilan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang agak ‘lain macam’ hari ini, menarik perhatian pengikut Instagramnya.

Mana tidaknya, Khairy yang lebih mesra dipanggil KJ mengenakan sarung kaki berwarna kuning pada kaki kanan dan berbelang biru, hitam serta hitam coklat untuk sebelah lagi.

“Saya suka stokin terang, tetapi hari ini ia tidak sepadan. Adakah angkara saya tergesa-gesa untuk menghadiri mesyuarat Kabinet sehingga tidak dapat cari sepasang yang sepadan?

“Adakah ini OOTD (Outfit Of The Day) terbaharu?” katanya menerusi catatan di laman Instragram miliknya, hari ini.

Menjelaskan berhubung penampilan stokinnya, KJ memaklumkan kepada 854,000 pengikutnya, bahawa ada sebab beliau memilih untuk berpenampilan sebegitu.


“Ia sempena meraikan Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut 21 Mac pada setiap tahun,” katanya.

Kongsinya, ia antara lain peringatan kepada masyarakat bahawa manusia dan segelintir perkara mungkin tampak berbeza, namun masih indah serta mengagumkan menerusi kaca mata seperti sedia ada.

Dalam pada itu, bersempena hari yang istimewa itu KJ turut mendidikasikan penampilan itu buat anak saudaranya, Aisha.

“Aisha mempunyai Sindrom Down, tetapi ia tidak pernah dijadikan sebagai rintangan untuk dia mengejar impiannya.

“Dia bijak, cantik, kelakar, aktif dan sentiasa menampilkan diri sebagai jurucakap yang mempunyai keberanian ketika menyampaikan ucaptama mengenai perjuangan ke arah sistem pendidikan menyeluruh, dengan mengetepikan perbezaan antara kanak-kanak biasa serta istimewa,” katanya.

Sumber: Sinar