Kontraktor Didakwa Cuai, Punca Pelajar Maut Kena Bilah Mesin


Kementerian Pendidikan mendapati terdapat tanda kecuaian di pihak kontraktor pembersihan dan pengurusan sekolah sehingga terjadi insiden pelajar maut terkena bilah mesin pemotong rumput.

Perkara itu didedahkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengulas kes di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan pada 13 Februari lalu.

Dalam pada itu, Mahdzir mengesahkan telah menerima laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan selepas siasatan dalaman dilakukan bagi mencari punca sebenar kejadian kemalangan tersebut.

“Saya sudah baca laporan itu dan saya sahkan memang berlaku kecuaian di pihak kontraktor pembersihan dan pengurusan sekolah itu sendiri. Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini.

“Bagi pihak kementerian, tindakan dalaman terhadap pengurusan sekolah sedang diambil mengikut peraturan sedia ada” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan program bersama Usahawan Mikro Amanah Ikhtiar di Pusat Komuniti Cikgu Hashim, Barokhas, Padang Terap, Kedah, semalam.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes Nur Afini Roslan, 14, yang maut selepas bilah mesin potong rumput terpelanting dan terkena kepalanya, sementara dua lagi pelajar mengalami kecederaan.

Mereka yang menjadi mangsa ialah Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, yang cedera di bahagian belakang kepala manakala Abdullah Hazlan, 14, pula cedera pada bahagian telinga kanan.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu, berlaku di padang sekolah tersebut ketika mereka menjalani latihan perbarisan untuk program hari sukan sekolah berkenaan. - Kedahnews.com