Kristal Gunung Keriang Berkualiti, Nilai Tinggi


Pencari kristal kita kena bijak menggambarkan bentuk kristal itu menyerupai sesuatu seperti bentuk haiwan atau bangunan manakala warna kristal bernilai tinggi bagi saya adalah putih berkaca.

JIKA dahulu, Gunung Keriang yang terletak di pinggir bandar Alor Setar, Kedah menjadi ‘syurga’ buat pencari bunga kristal semula jadi yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan.

Kawasan gua batu kapur yang masih belum diusik sepenuhnya itu dikatakan dipenuhi bunga-bunga kristal kalsit unik dan bernilai tinggi yang menjadi dambaan peminat kristal dari dalam dan luar negara.

Namun itu cerita lebih 20 tahun lalu ketika Mahadi Mat Akhir, 52, mula berjinak-jinak sebagai pencari bunga kristal di Gunung Keriang.

Daripada seorang juruteknik di sebuah kilang di Pulau Pinang, Mahadi yang ketika itu berusia lewat 20-an membuat keputusan untuk pulang ke kampung kerana kos sara hidup tinggi di bandar dengan mencuba nasib sebagai pencari bunga kristal.

“Tanpa sebarang ilmu mahupun pengalaman mencari bunga kristal, saya dan seorang rakan mendaki Gunung Keriang dan masuk ke dalam gua dengan hanya berbekalkan lampu minyak tanah, pahat dan penukul.

“Kami masuk dan hanya perlu halakan lampu minyak tanah hampir pada dinding gua untuk cari bunga kristal. Pada masa itu kristal masih banyak,” katanya ketika ditemui di kedai kristal miliknya di Taman Rekreasi Gunung Keriang baru-baru ini.


Katanya lagi, setelah beberapa kali mencari dan hasil tunjuk ajar daripada pencari batu kristal lain, dia semakin cekap menilai serta mengeluarkan bunga kristal dengan cara yang betul.

“Daripada lampu minyak tanah, saya bertukar kepada lampu suluh dan itulah permulaan detik saya sebagai pencari bunga kristal sehingga hari ini,” ujarnya.

Menurut Mahadi lagi, bunga kristal pada masa ini tidak sebanyak dahulu dan ia kini boleh dianggap sebagai harta karun yang perlu diburu.

“Kalau dulu, masuk sahaja gua sudah boleh nampak kristal tetapi kini kita perlu memahat dinding atau lantai gua untuk dapatkan harta karun tersebut,” jelasnya.

Bukan mudah untuk dapatkan bunga kristal kerana menurut Mahadi, mereka perlu mendaki selama kira-kira setengah jam di laluan trek berbukit sebelum masuk ke dalam kawasan gua yang sempit dan berbatu licin.

“Kami terpaksa merangkak untuk masuk ke dalam terowong yang sempit dan terpaksa menyusup di celah-celah dinding gua berbatu yang tajam,” katanya.

Katanya, terdapat banyak gua di Gunung Keriang antaranya Gua Terus, Gua Aji, Gua Kalat, Gua Cempedak Air, Gua Wang Buluh, Gua Jutawan, Gua Sirih dan Gua Sanding.


Nilai kristal

Ceritanya lagi, kristal bernilai tinggi yang pernah diperolehnya adalah pada tahun 2012 iaitu seberat 1.3 tan berharga RM40,000.

“Kristal itu ditemui di sebuah gua yang tidak mempunyai nama dan saya mengambil masa hampir sebulan untuk mendapatkannya.

“Ia ditemui kerana saya yakin kawasan tersebut mempunyai bunga kristal bernilai tinggi dan saya tidak berputus asa mencarinya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, bunga kristal terbesar yang diperolehnya itu kini menjadi antara tarikan di kaki Gunung Keriang tersebut.

“Selain kristal terbesar ini, saya juga mempunyai satu lagi bunga kristal berkualiti tinggi berharga RM25,000 untuk dijual,” katanya.

Ujarnya, harga bunga kristal dinilai pada bentuk, warna dan kesempurnaannya.

“Sebagai pencari kristal kita kena bijak menggambarkan bentuk kristal itu sama ada menyerupai sesuatu seperti bentuk haiwan atau bangunan manakala warna kristal bernilai tinggi bagi saya adalah putih berkaca.

“Kita juga perlu pastikan tiada kecacatan mahupun kerosakan pada kristal kerana jika ada, ia akan menghilangkan serinya seterusnya menjejaskan harga jualan,” katanya.

Tambah Mahadi, harga jualan kristal di kedainya adalah antara RM5 hingga RM40,000.

“Saya mempunyai pelanggan yang rata-rata berketurunan Cina dari seluruh negara termasuk luar negara seperti Singapura, Hong Kong dan China,” katanya.

Keunikan

Gua di Gunung Keriang kini bukan hanya menjadi tumpuan kepada pencari kristal tetapi mula menarik minat dalam kalangan pencinta alam semula jadi yang mahu menikmati keindahan dan keunikan gua di situ.

Menurut Zulfadli Abdul Rahman, 36, dia pernah membawa beberapa kumpulan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mendaki Gunung Keriang dan meneroka beberapa gua di situ.

“Kita akan bawa mereka teroka gua yang mengambil masa kira-kira empat jam dan ia merupakan satu pengalaman menarik kerana mereka perlu memanjat dan merangkak untuk sampai ke sesuatu tempat.

“Selain itu, kita juga akan menerangkan secara umum tentang batu kristal dan kaedah untuk mencari dan mengeluarkannya,” katanya yang juga merupakan seorang peniaga kristal di kaki gunung tersebut.

Katanya, selain kristal, terdapat juga beberapa batu yang menyerupai bahagian belakang dua ekor buaya dan kubur panjang di dalam gua di gunung tersebut

“Batu menyerupai buaya itu diceritakan oleh nenek moyang kononnya ia disumpah oleh Sang Gedembai manakala kubur panjang itu dipercayai adalah kubur lama,” katanya.

Anak jati Gunung Keriang, Hafizati Izwani Mohd. Zulkifli, 20, berkata, dia pernah beberapa kali masuk ke dalam gua untuk mengambil bunga kristal.

“Saya naik gunung dengan rakan ayah kerana mahu merasai sendiri cabaran mencari dan mengeluarkan bunga kristal.

“Kerja-kerja mengeluarkan bunga kristal perlu dibuat dengan teliti bagi mengelakkan ia rosak, Jadi, ia boleh memakan masa berhari-hari lamanya,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan Keriang Hill Cafe’ Abu Bakar Al-Banjari, Leftenan Kolonel (B) Abu Bakar Husin berkata, dia baru membuka perniagaan di kaki Gunung Keriang kira-kira dua bulan lalu.

“Saya melihat kawasan kaki gunung ini mempunyai potensi dalam bidang pelancongan dan salah satu hasrat saya membuka perniagaan ini adalah untuk menghidupkan suasana di sini,” katanya.

Promosi

Kedai makannya menawarkan pelbagai menu seperti peknga (lempeng) dengan gulai ikan temenung, roti canai gelek dan lauk-pauk.

Menurutnya, kristal Gunung Keriang menjadi tarikan utama di kaki gunung tersebut dan berharap kerajaan negeri dapat mempromosikannya dengan lebih giat lagi.

“Kerajaan negeri mungkin boleh menaik taraf kedai di sini dan menggalakkan perniagaan bukan sahaja kristal tetapi juga produk usahawan tempatan di sini,” ujarnya.

Tambahnya, selain taman rekreasi, Gunung Keriang turut memiliki lokasi pelancongan lain yang menarik antaranya Muzium Padi, Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara selain penginapan menarik di Keriang Hill Resort.

“Orang ramai yang berkunjung ke sini boleh menikmati pemandangan indah dan tenang sawah padi berlatarbelakangkan Gunung Keriang,” katanya.

Sumber: Kosmo