KUALA LUMPUR - Faktor gaji lebih rendah didakwa menjadi antara faktor kebanyakan kelab cenderung untuk menjadikan pemain import sudah berusia sebagai taruhan mereka bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pandangan itu disuarakan Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim sambil menjelaskan tidak semua pasukan dalam Liga M mempunyai kemampuan untuk 'menanggung' pemain import muda dan memiliki prestasi lebih baik.
Beliau berkata, pemain import yang memiliki nama dan berada di kemuncak prestasi terutama berusia antara 25 hingga 28 tahun bernilai lebih tinggi berbanding pemain yang sudah mencecah usia 30 tahun ke atas dan dilabel sebagai 'kuda tua'.
"Gaji memainkan peranan penting juga, bagi yang sedang berada di puncak prestasi sudah pasti bernilai tinggi dan mampu mencecah USD20,000 (RM76,600) sebulan. Jadi tak semua kelab mampu.
"Gaji minimum pun dalam USD15,000 (RM60,000), malah ada yang mencecah USD30,0000 (RM117,900), tapi hanya sekumpulan kecil saja. Jumlah gaji ini biasanya diterima pemain yang ada nama dan ia dinilai berdasarkan prestasi bersama kelab terakhir mereka.
"Satu lagi faktor (pemain berusia jadi pilihan) adalah pengalaman pemain. Sebab pengambilan pemain import yang lebih berusia ini juga kerana pasukan menganggap mereka mampu meningkatkan kualiti keseluruhan pasukan itu," kata Hafizan.
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan mengenai persoalan sama ada Liga M boleh dianggap sebagai 'liga persaraan' selepas 48.6 peratus pemain import yang berdaftar bersama pasukan Liga M musim ini berusia 30 tahun ke atas.
Malah, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan pengambilan pemain import berusia adalah perjudian besar buat pasukan kerana mereka lebih terdedah kepada risiko mengalami kecederaan.
Selain itu, Hafizan berkata, tiada masalah untuk pasukan mengambil pemain yang sudah berusia sekiranya pasukan melakukan ujian terperinci terhadap tahap kesihatan mereka.
"Tidak banyak pasukan Liga M yang melakukan ujian kesihatan yang terperinci terhadap pemain yang bakal diikat dan kebanyakannya sekadar melakukan ujian kesihatan biasa seperti ujian air kencing, ujian darah dan x-ray.
"Namun, ada juga pasukan yang melakukan ujian kesihatan lebih ketat seperti pasukan FELCRA FC di mana pemain diuji sepenuhnya tahap kesihatan mereka termasuk pemeriksaan mengesan kecederaan lalu yang dialami pemain," katanya.
Sumber: BH Online