KWSP Sangkal Wujud Kes Penipuan


KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal dakwaan wujudnya kes penipuan membabitkan pemindahan dana serta bon dalam jumlah yang besar seperti ditimbulkan beberapa portal berita, baru-baru ini.

KWSP menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam memaklumkan, dakwaan beberapa portal yang turut memaparkan surat serta kertas cadangan membabitkan pemindahan dana serta bon itu adalah palsu.

KWSP memberi jaminan kepada ahli bahawa rangka kerja tadbir urus yang diamalkan adalah kukuh serta mantap, sekali gus mencegah sebarang penipuan ke atas dana milik ahli.

"Audit tahunan dijalankan Jabatan Audit Negara mengesahkan bahawa bon yang didakwa itu sebenarnya masih kekal milik KWSP, menerusi pengesahan diterima daripada PayNet pada Januari lalu.

"PayNet adalah anak syarikat Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak sebagai pengendali sistem bayaran yang diluluskan serta dikawal selia oleh BNM.

"Jadi, kami ingin menegaskan bahawa transaksi seperti didakwa tidak pernah berlaku," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, rangka kerja tadbir urus KWSP memerlukan semua kertas cadangan melalui proses penilaian pelaburan yang ketat, membabitkan analisis komprehensif, penilaian risiko dan usaha wajar oleh pasukan pakar.

Katanya, sebaik cadangan itu lulus dalam saringan peringkat pertama, ia kemudian perlu melalui proses pertimbangan lebih terperinci oleh Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan (MIC), terdiri daripada ahli kanan Bahagian Pelaburan serta pengurusan tertinggi KWSP.

"Hanya selepas mendapat kelulusan MIC, barulah kertas cadangan dibawa ke Panel Pelaburan, yang terdiri daripada profesional industri, ahli pengurusan kanan KWSP, selain wakil BNM dan kerajaan untuk pertimbangan selanjutnya sebelum mendapat kelulusan akhir.

"Menerusi proses ini, ia dapat mencegah sebarang penipuan dan memelihara simpanan ahli," katanya.

KWSP juga memaklumkan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menerbitkan dakwaan berniat jahat itu.

Sumber: BH Online