Lagak 'Ngeri' Din Rambo


WALAUPUN usianya sudah 51 tahun, namun kudrat lelaki dikenali Din Rambo sentiasa diharap penduduk Felda Lui Timur, Jempol untuk memanjat pokok kelapa.

Keistimewaannya menyebabkan lelaki dengan nama sebenar Zainudin Mohd Suboh itu dikagumi kerana kepakarannya memanjat pokok kelapa sekali gus menjadi sumber pendapatannya menyara keluarga sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, semuanya bermula apabila dia memanjat pokok kelapa di belakang rumah bapanya di Felda Bukit Jalor, Gemas dan sejak itu dia mengambil upah bukan saja memetik buah kelapa, malah turut menebang pokok berkenaan.

“Pada mulanya saya hanya mencuba dan ternyata saya ada kelebihan yang Tuhan berikan sehingga membuat keputusan untuk mengambil upah memanjat pokok kelapa dan saya nekad berhenti kerja sebagai pemandu bas,” katanya.

Zainudin berkata, selain pokok kelapa, orang ramai turut mengupahnya menebang dan memanjat pokok lain seperti pokok durian.

Katanya, pengalaman terjatuh dari ketinggian 10 meter ketika memanjat pokok kelapa pada 2015 antara kejadian yang sukar dilupakan sekali gus mengingatkannya supaya lebih berhati-hati.

“Saya tidak cedera, namun bercuti dua bulan disebabkan isteri Norlina Yusoff, 43, dan lima anak risau dengan keselamatan saya.

“Ketika dalam tempoh bercuti itu, orang ramai sentiasa datang ke rumah mahu saya memanjat kembali menyebabkan saya akur dengan permintaan itu,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatannya bukan saja kepada masyarakat setempat namun di daerah lain antaranya Tampin, Jelebu, Kuala Pilah selain sekitar Kemayan, Pahang.

Zainudin berkata, tiada petua istimewa diamalkan sehingga dia masih boleh memanjat walaupun usianya sudah mencecah 50-an.

“Alhamdulillah, pekerjaan ini membolehkan saya membesarkan lima anak, malah anak ketiga kini sedang belajar di Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak.

“Kalau difikirkan takut, memang tak berasap dapur tetapi semuanya saya serah kepada Allah SWT, malah sebelum memanjat saya berdoa kerja saya dipermudahkan,” katanya.

Zainudin berkata, ketika ini dia dibantu anaknya Muhammad Fazri Hakimi, 16, dan adik iparnya Muhammad Nor Rashid Yusoff, 22, jika ada upah memanjat.

Katanya, bagi menebang bahagian atas pokok, upah yang diambil hanya RM40 bagi sebatang pokok manakala jika menurunkan kelapa upah yang dikenakan hanya RM10 juga bagi setiap pokok.

Penduduk, Latifah Sharif, 62, berkata, khidmat Zainudin sentiasa diperlukan berikutan kebolehan memanjat yang dimilikinya.

“Saya sering memanggilnya untuk menebang pokok kelapa yang semakin meninggi kerana risau pokok itu menghempap rumah jika angin kuat,” katanya.

Sumber: Metro