Lagi 2 Jam Nak Kenduri Lauk Tak Sampai, Pengantin Terpaksa Cari Kedai Makan


Kuala Lumpur: “Suasana hari itu sungguh cemas apabila kami terpaksa mencari kedai makan selain membeli barang untuk masak jamuan tetamu yang akan hadir,” kata Hapizah Abd Ghani, 58, mangsa penipuan sebuah syarikat pakej perkahwinan pada 24 Mac lalu.

Difahamkan, syarikat berkenaan yang beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor, menipu lebih sembilan mangsa membabitkan kerugian hampir RM500,000 sejak seminggu lalu.

Hapizah yang kali pertama mengadakan majlis perkahwinan anaknya berkata, keluarganya marah dan terkilan dengan tindakan tidak bertanggungjawab syarikat berkenaan.

Katanya, syarikat berkenaan tidak menjalankan amanah seperti dijanjikan dan keluarganya terpaksa menanggung kerugian RM17,350 selepas membuat pembayaran pakej perkahwinan anak perempuannya termasuk majlis kenduri pada 15 Februari lalu.


“Saya hanya menahan air mata ketika majlis berlangsung demi menghiburkan hati saudara-mara dan tetamu yang hadir walaupun sebenarnya kesedihan itu hanya Allah SWT saja tahu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini, semalam.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia sedih memikirkan kejadian itu kerana ia majlis perkahwinan pertama diadakan dalam ahli keluarganya.

“Kesian saudara-mara pakai cantik dan lawa terpaksa bertungkus-lumus siapkan hidangan yang sepatutnya tiba jam 10 pagi ketika hari kejadian.

“Saya beberapa kali menghubungi pihak syarikat berkenaan pada hari itu, namun gagal. Sebagai syarikat perancang perkahwinan mereka sepatutnya memaklumkan kepada kami jika ada masalah,” katanya yang menetap di Ampang.

Timbalan Ketua Biro Aduan PGRM Ben Liew Pok Boon berkata, hingga semalam, pihaknya menerima sembilan aduan berhubung penipuan syarikat berkenaan.

“Kami menganggarkan lebih ramai lagi aduan akan dibuat individu yang menjadi mangsa mereka.

“Syarikat ini dipercayai menjalankan perniagaan itu sejak 2016 dan beralamat di Sungai Buloh,” katanya.

Sumber: Metro