Lancar UPUPoket, Jejak Status Permohonan Ke IPT


KUANTAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan UPUPoket bagi memudahkan pelajar dan ibu bapa menjejak status permohonan serta semakan di Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) secara dalam talian sejak 3 Februari lalu.

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd. Nur berkata aplikasi itu amat mudah kerana lebih berkesan berbanding kaedah manual yang digunakan sebelum ini.

Beliau berkata menerusi aplikasi tersebut, pelajar dan ibu bapa dapat mengemas kini tanpa had berkaitan bidang pengkhususan yang mereka pilih sebanyak 12 pilihan.

“Jadi pelajar bukan sekadar boleh mengisi borang UPU, sebaliknya boleh menyemak dan menukar bidang pengkhususan mengikut minat mereka.

“Kita beri peluang untuk pelajar memilih 12 pengkhususan di seluruh institusi pengajian tinggi awam atau swasta. Namun jika merasakan pilihan tersebut terlalu banyak, pelajar hanya boleh mengisi lima pengkhususan secara minima,” katanya.

Noorul Ainur berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival KPTN Zon Pahang di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang di sini hari ini, yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor UMP (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT Datuk Kamel Mohammad.

Noorul Ainur berkata pelajar juga boleh membuat aduan, menyemak kalender akademik serta program yang ditawarkan menerusi UPUPoket itu, dan jika mempunyai masalah boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP).

Pelajar dan ibu bapa yang berminat boleh memuat turun aplikasi ini menerusi Google Play bagi Android atau muat turun melalui https://upu.mohe.gov.my, katanya.

“Bagaimanapun, aplikasi ini tidak boleh dimuat turun menerusi Applestore (Iphone) kerana ia masih dalam proses pengesahan daripada pihak Apple,” katanya.

Mengenai karnival itu, Noorul Ainur berkata program tersebut merupakan hasrat kerajaan bagi memastikan maklumat mengenai institusi pengajian tinggi disebarkan kepada masyarakat terutama mereka yang mahu menyambung pengajian.

Beliau berkata mereka boleh bersemuka dengan pegawai pendidikan setiap institusi di karnival berkenaan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kursus ditawarkan, tempoh pengajian serta bantuan kewangan disediakan.

“Kita mahu mereka yang memohon untuk melanjutkan pengajian ini memahami kursus dipilih bagi mengelak berlakunya rungutan ketika sudah memasuki pengajian seperti kursus dipohon tidak sesuai dan sebagainya.

“Pada masa sama, kita juga mahu mereka tahu masalah kewangan bukanlah kekangan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ini semua usaha KPT untuk memastikan tiada yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan di negara ini,” katanya. – Bernama