Lapangan Terbang Alor Setar Dinaik Taraf Antarabangsa - Najib


ALOR SETAR - Walaupun dituduh menabur 'dedak' dan dianggap janji kosong oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memperdulikannya, sebaliknya beliau terus mengumumkan projek pembangunan baru  untuk rakyat di negeri Kedah.

Semasa merasmikan majlis Penutup Ekspo Muafakat Kedah petang ini, Najib memberitahu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) akan dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kata Perdana Menteri, pembesaran lapangan terbang itu diperlukan sejajar dengan usaha kerajaan Persekutuan membangunkan Bukit Kayu Hitam sebagai hab logistik di utara Semenanjung.

Beliau percaya langkah untuk menaik taraf  LTSAH perlu  sebagai tarikan utama kemasukan pelabur ke Bukit Kayu Hitam yang bersempadan dengan Thailand.

Pembesaran LTSAH itu kelak akan menjadikan negeri Kedah memiliki dua lapangan terbang antarabangsa, iaitu di Pulau Langkawi dan di Kepala Batas, Alor Setar.

Menurut Perdana Menteri lagi, selain pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi seperti yang di umum dalam Bajet 2018, lapangan terbang di pulau pelancongan bebas cukai itu akan dilengkapi dengan 'aerobridge' untuk penerbangan antarabangsa dan pesawat besar.

"Jadi pelancong tidak payah lagi transit di KLIA untuk datang ke Langkawi, " kata Najib.

Mengenai LTSAH lagi, Najib menjelaskan, selepas balik dari Langkawi beliau  berbincang dengan Menteri Kewangan Kedua (Datuk Othman Aziz) bahawa kerajaan akan majukan Bukit Kayu Hitam sebagai pusat logistik untuk bahagian utara.

“Kalau nak majukan Bukit Kayu Hitam memang tepat  kalau kita juga naikkan taraf lapangan terbang Alor Setar kepada status antarabangsa dalam tempoh lima tahun ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dengan pembesaran LTSAH itu kelak akan memberi kemudahan kepada rakyat Kedah dan Perlis  dalam urusan menunaikan haji dan umrah.


Beliau berkata kerajaan Pusat yakin dapat merealisasikan hasrat tersebut demi pembangunan Kedah khususnya dan kawasan utara Semenajung amnya.

"Insya-Allah, kita boleh laksanakan selagi kerajaan BN diberikan sokongan," kata beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kedah tidak akan dipinggirkan malah, terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

Najib berkata ia sebagai penghargaan kepada Kedah yang merupakan negeri jelapang padi negara.

Beliau berjanji bahawa akan terus membantu Kedah memandangkan sumber kewangan hasil negeri ini amat terbatas.

Sementara itu Perdana Menteri turut membidas pihak pembangkang termasuk Dr. Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz yang mendakwa projek pembangunan untuk rakyat seperti hospital dan menaik taraf projek bekalan air sebagai 'dedak'.

Beliau menegaskan setiap bantuan diberikan kerajaan Persekutuan kepada rakyat bukanlah ‘'dedak´ seperti ditohmahkan pihak pembangkang sebaliknya ia sebagai langkah kerajaan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.

"Jangan hina rakyat...mereka tetap dapat pembelaan daripada kerajaan Persekutuan," kata beliau lagi 
.
Najib berkata antaranya adalah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menyaksikan hampir 600,000 rakyat Kedah menerima bantuan itu.

Beliau berkata ini membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutan dalam membantu golongan memerlukan untuk memenuhi keperluan asas mereka.

Turut pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.- Kedahnews.com