Lebih 10 Akaun Palsu Instagram Guna Identiti Anak Siti Nurhaliza


KUALA LUMPUR — Lebih 10 akaun palsu menggunakan nama sementara anak Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dibuka.

Tidak bercadang membuat akaun Fatimah Az-Zahrah, penyanyi itu berkata kandungan semua akaun tersebut bukan datang daripadanya atau suami, lapor Harian Metro.

“Mereka mengambil gambar atau video daripada pelbagai sumber tetapi tidak meletakkan kredit. Ini satu perbuatan yang tidak berhemah,” katanya.

Bimbang mereka disangka memuat naik kandungan semua akaun itu, Siti kesal kerana mereka menggunakan namanya dan suami hingga menimbulkan kekeliruan.

“Pasti ada pihak yang percaya dan saya tidak mahu bila berlaku sesuatu yang jelas bukan daripada kami, satu hari orang akan ingat itu adalah perbuatan kami,” katanya.

“Dalam masa sama, terdapat juga akaun Facebook yang menggunakan nama dengan menyamar jadi saya serta buat keterangan gambar seolah-olah lepas bersalin. Jadi tolong jangan percaya”.

Siti, 39, melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada jam 8.17 pagi kelmarin. 

Sumber – MalayMail