‘Lebih Rela Bakar Tudung Neelofa Daripada Bagi Sedekah’


“Saya membakar tudung Neelofa kerana kecewa dengan tindakannya. Ini protes peribadi saya dan bukan mahu mengajak peminat lain melakukan perkara sama,” kata Zuraini Bakar, 42, salah seorang peminat pengacara itu.

Tindakan Zuraini, membakar enam tudung dan dua anak tudung daripada beberapa koleksi Neelofa, tular di media sosial sejak minggu lalu.

Katanya, dia bertindak sedemikian sebagai protes kepada pelakon itu yang melakukan pelancaran koleksi tudung terbarunya di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu kota.

Ibu empat anak itu berkata, apa yang dilakukan selebriti terbabit diharap menjadi pengajaran supaya sentiasa beringat dan menjaga sensitiviti terutama membabitkan agama Islam di masa depan.

“Dia membawa nama besar dalam industri hiburan dan sepatutnya menjadi contoh buat peminat, kerana dia artis dengan imej bertudung,” katanya.

“Namun apa yang dilakukan cukup mengecewakan saya, jadi tindakan ini (protes tudung) dirasakan perlu selepas berbincang dengan suami dan anak,” katanya yang berasal dari Melaka.

Menurutnya, dia sedar ramai mempertikaikan tindakannya yang dianggap sebagai membazir, malah dia disarankan menyedekahkan tudung berkenaan kepada orang lain.

“Saya tidak akan sedekah kepada orang sesuatu yang saya ‘jijik’ nak pakai, jadi tindakan terbaik adalah membakar saja.

“Memang saya tahu Neelofa tidak hairan dengan tindakan saya ini, namun diharap suara hati saya sampai kepadanya untuk sentiasa berfikir panjang ketika melakukan sesuatu,” katanya.

Menurutnya, satu daripada tudung Neelofa yang dibakar itu dibeli khas untuk dipakai pada hari perkahwinan anak keduanya pada 18 Mac ini.

“Bagaimanapun kerana kecewa saya turut membakarnya dan terpaksa membeli tudung lain untuk memadankan dengan pakaian di hari bersejarah itu nanti.

“Bagi saya wang boleh dicari, namun apabila agama sendiri dipijak-pijak, saya tidak mahu membawa jenama itu merata-rata kerana terlalu kecewa,” katanya.

Katanya, meskipun Neelofa sudah membuat permohonan maaf di laman sosialnya, namun reaksi pada wajah artis berkenaan di sebuah rancangan hiburan di televisyen menunjukkan dia tidak berasa kesal dengan apa dilakukan.

“Reaksi wajahnya menunjukkan dia tidak rasa bersalah dan selepas itu saya nekad tidak akan memakai atau membeli tudung berkenaan lagi selepas ini.

“Selepas itu saya terus membakar tudung berkenaan selepas kecewa dengan tindakannya,” katanya, lapor Metro

Zuraini berkata, sebagai seorang peminat dan mengagumi Neelofa sebelum ini, dia mempunyai mesej peribadi kepada artis itu.

“Kepada Neelofa, saya sentiasa mendoakan kebaikan untuk awak dan setiap orang melakukan kesilapan termasuk saya, namun kita akan sentiasa perbaiki diri untuk tidak terus melakukan kesilapan sama,” katanya.

Sumber: Suara TV