Lelaki Derita Bengkak Kaki Bersyukur Dapat Sumbangan Katil Dari Ahli Parlimen Pendang


PENDANG - Seorang lelaki yang menderita masalah bengkak kaki sejak berusia 13 tahun bersyukur dan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul kerana menyumbangkan sebuah katil untuknya.

Mohd Anuar Syffuddin Mohamad Amin, 39, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Othman yang prihatin dengan keadaannya.

Mohd Anuar kini tidak dapat bergerak aktif kerana selain kakinya yang bengkak, lehernya juga pernah dibedah pada Disember lalu akibat jangkitan kuman.

“Sebelum ini walaupun mengalami masalah bengkak kaki sejak kanak-kanak tapi saya tak pernah rasa sakit dan masih boleh bergerak,” katanya.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, dia sudah tidak mampu bergerak mahupun berjalan secara perlahan kerana akan cepat sakit dan lemah.

Disebabkan risau tentang masa depan anak-anaknya yang tidak boleh ke sekolah, Mohd Anuar mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibu mertuanya di Merbok.

Katanya, isterinya, Siti Hindun Abdul Rashid, 33, tidak mahir menunggang motosikal mahupun memandu kereta bagi membolehkannya keluar bekerja.

“Kadang-kadang anak pi sekolah pun saya minta tolong kawan mai ambil dan pi hantaq.

“Jadi saya dan isteri mengambil keputusan untuk tinggal bersama mak mertua bagi membolehkan anak-anak saya ke sekolah,” katanya.

Sinar Harian pada 28 November tahun lalu ada melaporkan tentang kisah Mohd Anuar ini.

Sumber: Sinar Online