Lelaki Didakwa Guna PhD Palsu Jadi Pensyarah USM


GEORGETOWN - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan menipu pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pensyarah.

Tertuduh, N Thevananthan, 51, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, L Umma Devi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu pihak pengurusan USM dengan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pensyarah pada 15 Ogos 2008.

Dia didakwa dengan curang mendorong USM menyerahkan bayaran berjumlah RM195, 081.38.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466/471 Kanun Keseksaan pada tarikh sama dengan menggunakan dokumen palsu iaitu sijil kelulusan doktor falsafah dalam pendidikan (PhD) University of Maryland, Amerika Syarikat (AS).

Umma Devi kemudian menetapkan wang jaminan RM17, 500 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Siti Hajar Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan.

Terdahulu, tertuduh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bersama peguamnya kira-kira jam 8 pagi sebelum dia ditahan dan dibawa ke mahkamah.

Thevananthan yang menetap di Bayan Lepas, dekat sini, memohon jawatan sebagai pensyarah di USM Pulau Pinang pada Ogos 2008 lalu dengan mengemukakan beberapa sijil PhD dari Universiti of Maryland AS serta beberapa sijil lain.

Dia kemudian diterima bekerja sebagai pensyarah, namun pada Jun 2011 pihak USM berjaya mengesan penipuan dilakukannya selepas mereka membuat pemeriksaan dengan universiti berkenaan dan mendapati sijil dikemukakannya adalah palsu.

Pihak USM kemudian meminta dia memberikan penjelasan berhubung hal berkenaan, namun Thevananthan menghantar notis 24 jam membuatkan pihak pengurusan melaporkan kes kepada polis.

Sumber: BH Online