Lelaki Didakwa Liwat Bapa Saudara


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan meliwat bapa saudara dan melakukan kekerasan jenayah terhadap neneknya.

Tertuduh berusia 25 tahun mengangguk faham ketika tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan Seksyen 352 kanun sama kerana menggunakan kekerasan jenayah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja meliwat mangsa yang ketika itu berusia 28 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus, antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2016.

Tertuduh sekali lagi mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di alamat sama antara jam 7.30 malam hingga 8.30 malam pada pertengahan Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas ibu mangsa yang berusia 70 tahun yang juga neneknya di alamat sama, jam 2.30 petang pada 12 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: BH Online