Lelaki Ugut Sebar Video Seks, Belasah Isteri Dengan Lampu Kalimantang Di Kulim


ALOR SETAR - Seorang wanita diugut suspek untuk menyebarkan video hubungan seks mereka jika tidak mengikut kehendaknya setelah beliau enggan mendatangani surat penyerahan harta yang diwasiatkan kepadanya.

Bukan itu sahaja, wanita terbabit turut dibelasah suaminya menggunakan lampu kalimantang.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, mangsa berusia 44 tahun berselisih faham dengan suaminya berusia 40-an di kediaman mereka di Taman Nenas, Kulim, selepas suspek memaksa mangsa menandatangani surat itu.

Menurut sumber, suspek mengamuk apabila isterinya enggan menandatangani surat itu dan menendang mangsa sebelum membelasah mangsa dengan lampu kalimantang.

"Suspek turut mengugut akan menyebarkan video hubungan seks mereka jika mangsa tetap berdegil.

"Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian keluar dari rumah itu dan membuat laporan di Balai Polis Kulim tengah malam tadi (semalam)," katanya memetik BH Online.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Suspek ditahan selepas memukul isterinya secara fizikal dan menggunakan lampu kalimantang.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga," ujarnya. - Kedahnews.com