Lewat Bayar Sewa, Uji Sedih Berita Kena Usir Tersebar


BERITA diusir dari rumah akibat lewat bayar sewa membuatkan primadona Uji Rashid atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid menangung malu selepas perkara itu diketahui ramai.

Semalam, tersebar satu berita mengatakan penyanyi era 1970-an itu telah diusir dari kediaman sewanya di Ampang, Selangor sehingga memaksanya untuk meminta bantuan tinggal di skim Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Bagaimanapun pengurusnya, Kit Rushuhaimi memaklumkan bahawa penyanyi veteren itu berasakan bahawa masyarakat pasti sudah memandang serong kepada dirinya selepas berita tersebut tular.

“Dia terduduk semalam selepas membaca berita tentang itu dan mengadu pada saya bahawa dia benar-benar malu untuk keluar berhadapan dengan orang ramai.

“Dia kata kepada saya, biar bumi telan kak Uji daripada dia berhadapan persepsi masyarakat terhadapnya, lagi pula dia perlu ke hospital pada Khamis sehari selepas berita itu tersebar,” ujarnya dipetik mStar Online.

Disebabkan itu, penyanyi lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu tersebut telah menerima banyak panggilan daripada pelbagai pihak yang mahu mengetahui kebenaran perkara yang terjadi.

“Saya kasihan dengan dia, tak sanggup nak angkat telefon kerana ramai yang bertanya hal itu. Pada saya dia seorang wanita yang kuat berhadapan dengan ujian.

“Sejak setahun kebelakangan ini kehidupannya agak sukar, terpaksa menanggung keluarga seorang diri. Anaknya Cico sedang sakit dan banyak duit habis untuk pembiayaan rawatan Cico,” tambahnya.

Sebelum ini, Ciko atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin telah mengalami penyakit misteri apabila dia bagaikan telah dianiaya oleh seseorang sekitar dua tahun lalu.

Malah, sebagai seorang ibu, Uji mengambil keputusan untuk merawat anaknya sendiri berseorangan dan disebabkan itu dia perlu mengeluarkan belanja yang banyak bagi menampung kos rawatan Cico.

“Saya terpaksa menolak tawaran kerja untuk menumpukan perhatian pada satu-satunya zuriat saya. Kesusahan saya hanya Tuhan saja yang tahu.

“Tidak sampai hati meninggalkan anak yang menderita sakit. Saya masih berulang alik ke hospital menemani Cico menjalani pelbagai terapi dan rawatan setiap hari.

“Cico semakin sihat tetapi dia masih tidak boleh bercakap, menulis mahupun membaca. Saya terpaksa menjaganya seperti anak kecil,” ujarnya dipetik pula dari BH Online.

Berita tentang nasib malang yang menimpa Uji dan keluarganya diketahui umum selepas didedahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memaklumkan Uji bersama anak dan cucunya hadir ke pejabat kementerian itu.

Namun, menurut Kit, terdapat salah faham dalam kenyataan yang diberikan Noh kerana Uji masih menetap di rumah berkenaan walaupun dia telah diugut untuk diusir dari kediaman sewanya dekat Taman Dagang, Ampang.

“Dia masih tinggal di sana, cuma apa yang diberitahu ialah masalah sering lewat membayar sewa membuatkan dia digertak untuk segera kosongkan rumah.

“Pihak menteri berkenaan juga sudah menghubungi saya dan menyatakan permohonan maaf terhadap perkara tersebut,” tambah Kit lagi.

Sejak tahun 1990 lalu, sudah menjadi rutin kepada Uji untuk berpindah rumah disebabkan kesempitan hidupnya.

Dalam masa sama, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi memaklumkan bahawa dia dan ahli persatuannya yang lain telah hubungi Uji bagi membantu hal dokumentasi permohonan berkenaan namun gagal.

“Saya dimaklumkan tentang masalah dihadapi kak Uji menerusi pihak KPKT baru-baru ini yang mahu kami urus hal berkaitan borang dan melengkapkan dokumen mengikut prosedur ditetapkan.

“Malangnya, usaha menghubungi kak Uji gagal kerana dia tidak angkat telefon dan mungkin sibuk. Saya hubungi pengurusnya iaitu Kit dan minta Uji menghubungi KPKT sendiri untuk urusan dokumentasi itu,” ujar Zed.

Menurut Zed, pihak Seniman akan mengalami kesukaran untuk memberi bantuan kepada anak seni jika mereka sendiri tidak memaklumkan masalah yang dihadapi serta enggan memberi kerjasama.

“Kita ada buka peluang dan tawaran 10 buah rumah bawah Seniman tahun lalu dan ia sudah diluluskan pihak menteri dan Uji Rashid ini kes istimewa yang diluluskan menteri menjadikan 11 buah rumah bawah Seniman.

“Dia tidak menghubungi Seniman dan kami juga sukar untuk mendapatkan maklumat dan bantuan kerana tiada kerjasama,” tambahnya lagi.

Satu majlis penyerahan kunci kepada 11 orang artis termasuk Uji Rashid akan diadakan tidak lama lagi. -Kedahnews.com