LTdL Gedung Lahir Pelumba Berbakat


ALOR SETAR - Tidak dinafikan Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah gedung melahirkan pelumba berbakat di pentas antarabangsa, seperti yang sering berlaku pada edisi awal sejak pengenalan edisi pertama pada 1996.

Ramai pelumba handalan dunia pada awalnya berkayuh di Langkawi dan dengan keputusan memberangsangkan yang dicatat dalam jelajah terulung Asia itu, pelumba muda yang kurang terkenal akhirnya dilamar oleh pasukan profesional berprestij dunia.

Sebelum ini, Alessandro Petacchi, Floyd Landis, Chris Horner, Levi Leipheimer, Julio Alberto Perez, Antonio Cruz, Fred Rodriguez, Rigoberto Uran, Rinaldo Nocentini, adalah antara nama-nama yang tidak dikenali tetapi akhirnya muncul antara pelumba disegani di dunia dan memainkan peranan besar dalam pasukan profesional selepas itu.

Malah, LTdL pada beberapa awal tahun penganjurannya sering menyaksikan pelumba handalan profesional hadir untuk memberi bimbingan kepada pelumba baru dan muda yang diambil oleh pasukan berstatus WorldTour.

Tidak hairanlah, di tengah-tengah kemunculan banyak perlumbaan jelajah di rantau Asia, nama LTdL tetapi menjadi sebutan dan meniti di bibir pelumba-pelumba yang pernah datang bersaing di perlumbaan itu.

Ini kerana, LTdL yang diadakan pada awal musim perlumbaan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) turut menjadi medan memanas badan sebelum bermula musim sibuk perlumbaan besar dan penting di Eropah.

Apabila tirai saingan edisi ke-23 Le Tour de Langkawi 2018 dibuka dengan Peringkat 1 dari Kangar ke Kulim sejauh 154km esok, mungkin akan muncul lagi nama-nama besar dalam dunia berbasikal jelajah profesional dalam tempoh beberapa tahun terdekat.

Kerana selain menyajikan bentuk kayuhan jelajah yang penuh cabaran getir di bawah terik matahari dan laluan basah akibat hujan di dalam cuaca tidak menentu Malaysia, LTdL tidak syak lagi menjadi medan pelumba muda mengasah kemahiran dan menonjolkan bakat sebenar untuk menarik perhatian pasukan handalan dunia.

Kurang 24 jam lagi tirai Peringkat 1 akan disingkap dan pelumba yang kini berada di Alor Setar tetap turun menjalani latihan selepas berpindah dari Pulau Langkawi untuk majlis pengenalan pasukan, malam kelmarin.

Pegawai pasukan dan pihak teknikal juga sudah memperincikan perjalanan perlumbaan dengan mesyuarat dihadiri ketua komisar yang dilantik UCI, John McDonald dan pengarah perlumbaan, Graham Jones di hotel penginapan rasmi secretariat LTdL 2018.

Bagi peminat tempatan, kesempatan melihat perlumbaan bertaraf antarabangsa di depan mata sendiri pasti tidak harus dilepaskan, sambil mencongak mungkin ada antara 132 pelumba yang bersaing kali ini akan bergelar jaguh dunia, suatu hari nanti.

Seramai 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan membabitkan pasukan bertaraf Pro Tour, profesional benua (Pro Tour), benua (Continental) dan pasukan kebangsaan akan menghangatkan perlumbaan edisi ke-23 tahun ini, yang bermula dengan majlis pengenalan pasukan di Pulau Langkawi pada 16 Mac ini.

Perlumbaan lapan peringkat sejauh 1,341.1km berstatus 2.HC dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia oleh UCI itu melibatkan lapan negeri di Semenanjung mendapat sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

Sumber: MyMetro