MAB Perlu Beri Kebebasan Pramugari Bertudung


ISU bertudung kian hangat dibualkan baru-baru ini. Belum habis isu staf berhijab di hotel, timbul pula isu tudung yang baharu. Kali ini, isu bertudung pramugari pula mendapat perhatian.

Isu ini bangkit apabila Malaysia Airlines Berhad (MAB) dituntut mendedahkan kod etika pakaian yang diguna pakai terhadap krew kabin, khususnya melibatkan pramugari syarikat penerbangan nasional itu.

Berhubung tuntutan berkenaan, Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa agar garis panduan pakaian pramugari beragama Islam dapat dilaksanakan oleh pengurusan MAB.


Presiden UNI-MLC, Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, MAB sepatutnya mengambil sikap realistik dan terbuka berhubung isu pemakaian tudung oleh pramugari beragama Islam.

“Jika lihat di kaunter atau pengurusan MAB, ada sahaja kakitangan mereka yang mengenakan tudung. Cuma di kalangan pramugari dalam pesawat penerbangan sahaja ianya berbeza.”

“Ini menimbulkan persoalan, apakah MAB juga mengenakan sebarang larangan terutama bertudung di kalangan pramugari mereka,” katanya pada akhbar tempatan hari ini.

Ujar Shafie lagi, sekiranya larangan seumpama itu memang benar diguna pakai MAB, maka syarikat berkenaan diminta mengkaji semula peraturan sedia ada dalam prosedur operasi standard (SOP).


Pemakaian tudung oleh pramugari Islam secara tidak langsung mempromosikan agama Islam selain memperkenalkan imej Malaysia sebagai negara Islam di mata dunia.

Selain UNI-MLC, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut menggesa supaya pakaian pramugari tidak menjolok mata dan perlu dikenakan tudung kepada pramugari beragama Islam.

Isu pakaian pramugari syarikat penerbangan Malaysia juga pernah mendapat kritikan hebat daripada warga New Zealand yang merasa jijik dengan pemakaian pramugari kerana terlalu seksi awal tahun ini.

Di Aceh, pramugari penerbangan beragama Islam telah diwajibkan bertudung, sementara bukan Islam pula perlu memakai pakaian agak sopan tanpa terlalu menjolok mata. - Kedahnews.com