Madrasah Di Kulim Terpaksa Solat Dalam Kelas, Perlu Bantuan


KULIM - Madrasah Darul Ulum Muttaqim di Kampung Pondok Labu, Keladi memerlukan RM700,000 untuk membina surau.

Mudirnya, Mohd Anuar Che Ani berkata, buat masa ini pelajar terpaksa menjadikan kelas untuk solat.

“Sekarang pelajar gunakan kelas untuk solat, sebab itu kita perlukan sebuah surau dengan segera untuk kemudahan pelajar di sini dan warga madrasah.

“Walaupun dana belum mencukupi namun proses pembinaan surau akan dimulakan sedikit demi sedikit sehingga dana cukup,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, madrasah ini ditubuhkan sejak tiga tahun lepas dan mempunyai seramai 80 pelajar lelaki berusia lapan hingga 17 tahun.

“Kita bercadang untuk menambah lagi bilangan pelajar seramai 100 orang untuk mengikuti pengajian hafazan al-Quran dan belajar kitab.

“Sebab itu kita mahu sediakan segala keperluan pelajar termasuk surau, dewan makan dan dewan serba guna yang berjumlah RM4 juta” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 552031113247 atau Affin Bank 106680001103 atas nama Madrasah Darul Ulum Al Muttaqim.

Sebarang pertanyaan hubungi Ustaz Mohd Anuar di talian 012-4544974.

Sumber: Sinar