Mahasiswa Boleh Cari Duit Poket Dengan GrabVarsity


RASANYA kebanyakan kita merasakan zaman belajar di universiti ataupun di kolej adalah waktu yang paling sukar dalam hidup.

Iyalah, di mana duit poket sentiasa tidak mencukupi dan kadang kala terpaksa ikat perut terutamanya sebelum duit pinjaman pengajian masuk ke dalam akaun bank.

Nak minta wang perbelanjaan dari ibu bapa pula tidak sanggup rasanya asyik kerap menyusahkan mereka.

Paling sukar adalah soal pengangkutan di mana jika tiada kenderaan sendiri agak membebankan jika mahu melakukan kerja-kerja di luar kampus.


Syukurlah, penawaran terbaharu daripada syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan, Grab kini diperkenalkan iaitu GrabVarsity yang berkolaborasi dengan beberapa universiti tempatan di Malaysia.

Melaluinya, para pelajar dapat meningkatkan kualiti hidup serta secara tidak langsung dapat memenuhi keperluan pengangkutan dalam kalangan pelajar universiti.

Menurut Ketua Pengurus Grab Malaysia, Sean Goh, setakat ini program berkenaan telah menarik tiga universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UMP).

GrabVarsity terdiri daripada empat tonggak utama iaitu ganjaran GrabVarsity, rakan pengangkutan, peluang pembelajaran secara langsung dan merapatkan peluang pendapatan.


Program ganjaran GrabVarsity termasuk menawarkan pelbagai faedah eksklusif daripada Shopee Malaysia, iflix, Photobook Worldwide, Honor, Digi dan Pizza Hut.

Bagi program rakan pengangkutan pula, Grab akan mengurangkan akan kesesakan di dalam kawasan universiti dengan menetapkan kawasan untuk mengambil dan menurunkan penumpang, selain kod promo eksklusif sempena acara-acara seperti konvokesyen, hari sukan atau perayaan.

Para pelajar juga boleh menyertai program jangka pendek khas yang khusus untuk pemandu Grab dalam kalangan pelajar sahaja bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan tambahan untuk membantu membiayai yuran pendidikan atau pinjaman pelajar. - Kedahnews.com