Mahfuz Sertai PAN, Peluang Bertanding Di Pokok Sena Kembali Cerah?


Peluang Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar 'kembali cerah' untuk bertanding semula di kawasan yang disandangnya sejak tiga penggal lalu pada Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Ini kerana Mahfuz yang meninggalkan PAS hujung tahun lepas selepas 34 tahun bersama parti Islam itu, hari ini mengumumkan untuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN) sebagai wadah perjuangan politiknya.

Mahfuz yang dulu kerap mengkiritik PAS, kini akan menjadi 'seteru rasmi' PAS. 

PAN dikatakan diberi tempat oleh Pakatan Harapan untuk bertanding bagi Parlimen Pokok Sena pada PRU14.

Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden PAS dan bekas Persuruhjaya PAS Kedah  mengumumkan untuk menyertai PAN  pada satu majlis yang diadakan di bangunan sementara Parlimen dengan kehadiran  Presiden PAN, Mohamad Sabu; timbalannya, Salahuddin Ayub serta beberapa pemimpin kanan DAP dan PKR.

“Hari ini saya umumkan tamat sebagai Ahli Parlimen Bebas, saya umum sertai PAN untuk bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan membawa perubahan,” kata Mahfuz.

Mahfuz sebelum ini dikatakan ditolak oleh PAN bahagian Pokok Sena daripada bertanding atas tiket parti itu.

Beliau bagaimanapun  menyerahkan nasibnya  kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan sama  untuk memilihnya bertanding atau tidak di kawasan parlimen yang disandangnya itu..

PAN bagaimanaoun dikatakan telah mengenalpasti calon baharu parti untuk diletakkan di Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz sebelum ini berkata beliau tidak kecewa jika tidak dipilih sebagai calon PRU14 kerana perjuangannya adalah mahu mempastikan kemenangan Pakatan Harapan. 

Walupun begitu sokongan terhadap Mahfuz di Pokok Sena dikatakan merosot berikutan tindakannya menyerang pucuk pimpinan PAS. - Kedahnews.com