PASTI semua pencinta makanan akan menyukai taco dan enchilada.
Selain itu, larva semut dari daerah tengah Mexico yang dikenali sebagai kaviar serangga atau empanadas de mole iaitu pastri penuh dengan sos coklat yang lazat di rantau Oaxaca turut menjadi kegemaran ramai.
Mexico sentiasa menjadi pemain utama makanan dunia. Cef-cef terkemuka telah mempromosikan masakan ini dari pelbagai wilayah telah membawa gastronomi Mexico ke tahap yang baharu.
Seorang pengusaha restoran Alejandro Ruiz yang mendapat liputan The New York Times berkata, di tempat asalnya dapur merupakan bahagian yang sangat penting.
Pemilik Restoran Guzina Oaxaca itu berasal dari La Raya iaitu negeri Selatan Oaxaca. Sejak kecil, dia telah membantu ibunya mengisar jagung dan memasak untuk keluarga.
“Restoran yang dibuka pada tahun 2014 ini melambangkan tempat asal saya iaitu kawasan pergunungan yang terkenal dengan kepelbagaian bahan masakan tradisional.
“Memasak telah menjadi darah daging saya dan restoran ini mempersembahkan identiti Oaxaca dalam setiap hidangan,” ceritanya.
Oaxaca bukan satu-satunya rantau yang mengetengahkan masakan tradisionalnya di tahap baharu.
Mexico terbentang di atas padang pasir dari arah utara dan bersempadan dengan hutan hujan tropika di bahagian selatan menjadikannya kaya dengan kepelbagaian bahan masakan.
Perisa di negara itu juga dibentuk oleh sejarah yang rumit, menggabungkan pengaruh daripada banyak kumpulan pribumi, Sepanyol, golongan elit Eropah, hamba dari Afrika, pendatang dari seluruh dunia dan Amerika Syarikat.
Pengasas blog makanan Eat Your World, Laura Siciliano-Rose telah mencatatkan pengembaraan kulinari di Mexico dan subrantau negara itu.
“Makan malam di Mexico, anda boleh menikmati taco yang sangat lazat.
“Kemudian di pasarnya mempunyai ayam belanda dan telur rebus serta pasta yang mempunyai kekayaan rasanya tersendiri,” jelasnya.
Kekuatan Mexico ialah mengetengahkan identiti wilayahnya dan ia banyak dieksport ke luar negara.
Kagum
Tuturnya, semakin ramai orang mempelajari mengenai wilayah makanan di negara itu dan mereka kagum dengan perbezaan dan kompleksnya sesuatu hidangan tersebut.
Editor Kumpulan, The World’s 50 Best Restaurants, William Drew berkata, restoran Mexico kini mempunyai nilai prestij dan sentiasa mendapat permintaan orang ramai.
“Kepelbagaian rasa dan bahan yang digunakan sangat luar biasa.
“Jika anda rasa sudah tahu mengenai hidangan Mexico sebenarnya ia tidak kerana masih banyak yang belum diperkenalkan dan perlu dicuba,” ujarnya.
Mexico mempunyai dua restoran yang berada di tangga 50 teratas dunia yang kebanyakannya didominasi oleh Eropah.
Dua restoran tersebut ialah Enrique Olvera’s Pujol dan Jorge Vallejo’s Quintonil yang terletak di bandar Mexico.
Namun, cef-cef terkemuka Mexico berasa bimbang memerhatikan rakannya di selatan iaitu Peru yang menjadi pesaing terhebat dalam pertarungan destinasi terpanas Amerika Latin.
Masakan Peru banyak mendapat pengaruh dari Eropah dan Asia yang menjadi lambang resipinya seperti ceviche iaitu hidangan ikan mentah segar yang diperab dengan limau nipis.
Peru mempunyai dua restoran yang tersenarai dalam 10 teratas dunia iaitu Virgilio Martinez’s Central di tangga kelima dan Mitsuharu Tsumura’s Maido di tangga kelapan.
Restoran terkemuka Mexico iaitu Pujol berada di tangga ke-20.
Mauricio Avila yang bertugas di Kementerian Kebudayaan Mexico sibuk menyusun dan memelihara warisan gastronomi negara itu.
“Orang Mexico mencintai makanan dan bangga dengan makanannya, tetapi kami tidak mengiklankannya.
“Kami merasakan orang asing tidak tertarik dengannya,” tuturnya.
Pejabatnya sering menganjurkan sambutan hidangan tradisional wilayah di Mexico.
Kerajaan telah melancarkan 78 koleksi Masakan Asli dan Popular yang masing-masing didedikasikan untuk sesuatu tempat, ramuan atau kumpulan etnik.
Pakar Gastronomi dari Venuzuela, Sasha Correa yang bertugas di Pusat Kulinari Basque berkata, Mexico mempunyai daya tarikan tersendiri.
“Dalam masa yang singkat, Mexico bukan hanya menjadi fenomena di Amerika Latin, tetapi ia menyerlahkan personaliti dalam banyak elemen.
“Malangnya, pencinta makanan yang mengembara ke Mexico hanya menikmati makanan di restoran mewah sedangkan banyak lagi hidangan enak di setiap sudut jalan di negara itu,” ulasnya. – AFP