KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk mengukuhkan peranannya dalam Komanwel yang terdiri daripada 53 negara anggota terutama dalam mengetengahkan nilai-nilai kesederhanaan seperti didukung oleh Gerakan Kesederhanaan Global.
Dalam perutusan sempena Hari Komanwel 2018, Kementerian Luar berkata pendekatan kesederhanaan yang diperkenalkan oleh Malaysia telah diberi pengiktirafan melalui Resolusi Kesederhanaan yang diluluskan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada Disember 2017.
Ia termasuk pengisytiharan Tahun Kesederhanaan Antarabangsa pada 2019.
"Pendekatan ini menyokong usaha secara aman seperti pengantaraan, dialog dan perbincangan yang konstruktif berdasarkan prinsip saling hormat-menghormati dan persefahaman bersama," kata kementerian.
Sebagai bakal tuan rumah Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada 2020, Malaysia akan terus memberikan komitmen terhadap usaha penting yang dijalankan oleh Komanwel.
"Malaysia bersama-sama dengan negara anggota Komanwel yang lain menaruh harapan untuk mengetengahkan agenda dan isu-isu kepentingan bersama," kata kementerian. Malaysia telah menjadi anggota Komanwel sejak 1957.
Hari Komanwel, yang jatuh pada 12 Mac, ialah bagi mengingati pencapaian Komanwel sejak penubuhannya pada 1949.
Menurut kementerian, tema tahun ini "Towards a Common Future'" menzahirkan pentingnya nilai-nilai dan prinsip bersama Komanwel.
"Ia juga adalah hari apabila 53 negara yang melakar sejarah bersama tampil bersama-sama untuk menghargai hubungan yang mengikat mereka bersama-sama. Secara kolektif, mereka akan terus memberi peluang kepada rakyat masing-masing menikmati masa depan yang lebih baik dari aspek politik, sosial dan ekonomi," kata kenyataan itu.
CHOGM 2018 dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 20 April di London.- BERNAMA