KUALA LUMPUR - Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan sukan gimrama "16th Junior dan 10th Senior Rhythmic Gymnastics Asian Championship" yang berlangsung di Axiata Arena, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 29 April hingga 2 Mei nanti.
Kejohanan peringkat kelayakan melibatkan saingan kategori individu, berkumpulan mengikut ranking, kategori 'all-around' dan empat aparatus yang akan berlangsung pada 29 hingga 30 April nanti.
Saingan akhir berkumpulan kategori aparatus 'all-around' serta empat aparatus pula akan berlangsung pada 1 dan 2 Mei.
Malam gala pertandingan akan dirasmikan Puteri Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kejohanan akan menyaksikan penyertaaan 18 kontinjen negara-negara Asia iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Uzbekistan, Kazakhstan, Mongolia, Krygyztan, Chinese Taipei, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Qatar, Iran, Lubnan, Korea Utara dan Malaysia.
Kejohanan peringkat junior itu akan menjadi gelanggang kelayakan ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina pada Oktober 2018.
Tujuh gimnas iaitu maksimum satu atlet bagi setiap negara akan dipilih mewakili Asia dalam Olimpik Remaja 2018.
Sumber: Astro Awani