GEORGETOWN - Dalam masyarakat moden, mandi bunga sering dianggap sebagai rawatan kecantikan untuk menaikkan seri wajah, tetapi sebenarnya ia turut berkait dengan unsur paranormal dalam kebudayaan silam.
Mandi bunga sebenarnya adalah kepercayaan dan adat mistik yang diwariskan sejak zaman-berzaman yang tidak terhad pada orang Melayu.
Pensyarah Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Hasmah Wan Teh, berkata mandi bunga adalah ritual yang sangat terkenal di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.
"Bukan hanya masyarakat Melayu, malah orang India dan Cina turut mempercayai kepentingan serta keperluan mandi bunga. Namun, masing-masing dengan tujuan berbeza.
"Bagi orang Melayu, kebanyakannya bertujuan untuk menaikkan aura, kecantikan wajah dan seri pengantin.
"Kaum India dan Cina pula melakukannya untuk memperoleh kesihatan dan nasib yang baik," katanya pada Siri Wacana Naratif Ke-3 Paranormal Melayu: Psikologi dan Masyarakat di USM.
Wacana itu turut menampilkan empat lagi pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM sebagai panelis, iaitu Prof Dr Jelani Harun, Prof Madya Dr Rahimah A Hamid, Dr Mohamad Lutfi Abdul Rahman dan Dr Rosnidar Ain.
Guna tujuh jenis bunga
Dr Wan Hasmah berkata, tujuh jenis bunga yang digunakan dalam mandian itu juga mempunyai simbol dan semangat tersendiri yang kononnya dapat membantu 'pesakit' memperoleh apa diingini.
"Di negara ini, kebanyakan pengamal perubatan tradisional menggunakan bunga sundal malam, jasmin, melur, cempaka, mawar dan kenanga yang dicampur dengan sintok serta limau purut sebagai bahan ketujuh.
"Tidak ramai yang tahu, sintok atau pokok beluru itu berperanan untuk 'memohon izin' kepada makhluk halus supaya majlis (kebiasaannya kepada pengantin) yang diadakan berjalan lancar.
"Sebab itu di sesetengah tempat ada yang memanggil mandi sintok, bukan mandi bunga," katanya.
Ada pantang larang
Dr Wan Hasmah berkata, mandi bunga turut mempunyai banyak pantang larang tersendiri yang biasanya bersifat subjektif dan tertakluk kepada pengamal perubatan tradisional terbabit.
"Antara pantang larang yang saya sempat kaji adalah 'pesakit' tidak boleh membersihkan sendiri air mandian bunga.
"Malah ada juga yang hanya melakukan upacara mandi bunga hanya pada bulan Safar kerana percaya pada bulan itu saja tiada unsur malang," katanya.
Dr Wan Hasmah berkata, walaupun mandi bunga sudah diperluaskan sebagai antara rawatan alternatif di pusat kecantikan dan spa, ritual mandi bunga secara tradisional masih menjadi pilihan utama, terutama kepada masyarakat Melayu.
"Masih ramai yang percaya kepada amalan mandi bunga dan ada yang sanggup mencari pengamal perubatan tradisional ini di ceruk kampung dan pedalaman demi tujuan masing-masing," katanya.
Sumber: BH Online