Mangsa Nahas Bakal Jalani Pembedahan Di HSB Perlu Sumbangan


ALOR SETAR - Tragedi kemalangan maut mengorbankan tiga nyawa lima bulan lalu turut memberi kesan kepada pekerja kilang, Nur Alia Isa yang kini terlantar akibat kecederaan parah di kepala.

Salah seorang mangsa kemalangan, Nur Alia, 20, turut terlibat dalam kejadian van kilang yang bertembung dengan kenderaan jenis Perodua Myvi pada 17 Oktober lalu dekat Tikam Batu semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ibu mangsa, Khadijah Abdullah, 53, berstatus ibu tunggal dan mualaf berkata, tragedi tersebut meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarganya.

“Lepas kemalangan, tempurung kepala Nur Alia kena buang sebab ada darah beku di kepala. Kaki dan tangan kanannya pula lumpuh kesan akibat kemalangan itu.

“Sehingga kini, dia hanya minum susu dan makan makanan khas guna tiub yang ditebuk di bahagian badan,” katanya memetik Sinar Online.

Difahamkan, Nur Alia tidak mampu lagi bercakap, namun boleh mengangguk dan senyum faham apabila disapa dan ketika dipanggil namanya.

Disebabkan keadaan mangsa yang terlantar dan memerlukan penjagaan sepenuh masa, Khadijah tidak lagi keluar bekerja atau jual kuih.

“Duit untuk makan dapat daripada orang bagi (sumbangan), saya tak boleh kerja dah sebab nanti tak ada orang nak jaga dia,” ujarnya.

Menurutnya, dia tidak lagi menerima Bantuan Kanak-Kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tiada lagi anaknya yang bersekolah kecuali Nur Anis Amira, 17, yang kini tinggal bersama ibu saudara di Batu Kawan.

Sebelum ini, bantuan katil khas telah disumbangkan Perkeso dan keperluan alat mesin khas sedut kahak pula disumbangkan individu pemurah.

“Cuma untuk beli susu dan lampin pakai buang sahaja yang dia perlukan, harap orang derma sahajalah,” jelasnya.

Tambahnya, Nur Alia bakal menjalani satu lagi pembedahan pada 5 April nanti di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Nur Alia turut dikunjungi sukarelawan, Natipah Abu yang hadir memberikan sokongan moral serta sedikit sumbangan wang tunai.

Bagi orang ramai yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02124-20-00010939-2.

Sebelum ini, media melaporkan, nahas jam 5.55 pagi itu mengorbankan dua pekerja kilang dan seorang pemandu kereta Myvi, manakala lebih 10 mangsa cedera. - Kedahnews.com