Manifesto Pakatan Harapan 'Kitar Semula,' Akan Menyusahkan Rakyat


Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang ditabur menerusi '10 Janji 100 Hari' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lebih daripada retorik yang akan menyusahkan rakyat jika pembangkang mentadbir negara.

Menyifatkannya sebagai memberi harapan palsu kepada rakyat, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata tiada sentuhan segar dikemukakan pembangkang.

"PH berjanji menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) enam peratus dan kembali kepada cukai jualan 10 peratus serta cukai perkhidmatan enam peratus (SST) yang ternyata tidak telus dan efisyen.

"GST kutip RM41 bilion manakala SST kutip RM17 bilion, justeru bagaimana PH mahu menampung kekurangan lebih RM20 bilion?" katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, PH turut mengembalikan subsidi petrol bersasar walaupun sebelum ini pernah berjanji untuk menurunkan harga kepada RM1.50 seliter untuk rakyat.

Bagaimanapun, Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, BN terlebih dulu melaksanakan subsidi bersasar dalam bentuk tunai terus kepada mereka yang memerlukan sejak 2012.

"Sama juga kes Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila PH berjanji mahu hapuskan hutang perbadanan itu, namun sekarang mereka kata bila gaji kasar melebihi RM4,000 baru mula bayar.

"Kerajaan sudah mengecualikan RM1.23 bilion bayaran balik untuk 41,706 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu ijazah kelas pertama," katanya.

Abdul Rahman membidas hasrat PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pelbagai perkara.

"Jangan lupa (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang dulu berkeras mahukan RCI untuk skandal forex Bank Negara tetapi apabila siasatan selesai, beliau tolak keputusannya.

"Sepatutnya PH tuntut RCI bagi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang juga," katanya.

Abdul Rahman turut mengingatkan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menubuhkan jawatankuasa khas, malah memberi komitmen dalam mengembalikan mana-mana hak Sabah dan Sarawak yang 'terambil' secara sengaja atau tidak dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sehubungan itu, katanya, janji PH menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 adalah amat tidak relevan.

Beliau berkata, Skim Peduli Sihat dengan had maksimum RM500 turut tidak relevan tiada had untuk rakyat mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

"Tahun ini saja, kita membelanjakan RM26.5 bilion dalam sektor kesihatan demi manfaat rakyat.

"PH juga mahu mengkaji semula projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing sedangkan kebanyakan bangunan pencakar langit kebanggaan negara hasil pembinaan syarikat luar.

"Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, LRT STAR dan PUTRA serta bangunan Dayabumi, syarikat tempatan mana yang membinanya?," katanya.

Abdul Rahman berkata, rakyat tidak perlu menunggu janji PH menaikkan gaji minimum pekerja kerana Perintah Gaji Minimum (2012) menetapkan kadarnya disemak setiap dua tahun.

Beliau menegaskan, BN lebih komprehensif dalam memperkasa wanita dengan menyalakan inspirasi supaya golongan itu kekal dan menyertai pasaran buruh untuk menyumbang kepada ekonomi negara, sekali gus menaik taraf ekonomi keluarga.

"Ini berbeza dengan PH yang mahu suri rumah kekal di rumah, BN sudah lama maju ke depan dan nasib golongan itu sudah berubah ke arah yang lebih baik.

"Janji nak hapuskan hutang PTPTN pun PH boleh u-turn, bagaimana nak percaya janji lain termasuk mansuhkan hutang peneroka FELDA," katanya.

Malam tadi, Pakatan Harapan melancarkan manifesto PRU-14 yang dilihat dipenuhi janji populis dan mengitar semula idea lima tahun lalu walaupun banyak yang tidak ditunaikan, termasuk pentadbiran PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang.

Sumber : BH