Masa depan orang Melayu dan golongan bumiputera dilihat kelam jika kandungan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH) diketuai DAP menjadi realiti.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, dalam konteks agenda ekonomi, janji untuk memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi Melayu dan bumiputera hanya disebut secara umum tanpa sasaran yang lebih objektif.
Katanya, manifesto tersebut juga menampakkan agenda tersirat DAP iaitu melaksanakan dasar kesamarataan, sekali gus bakal menghakis hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
"Sekali imbas, ada baik ada tak baik manifesto mereka. Yang baik pula hanya sementara kerana akan jadi tidak baik dalam jangka masa panjang. Jaminan untuk beri tumpuan terhadap pembangunan ekonomi bumiputera tidak sampai ke tahap yang kita harapkan.
"Tidak dijelaskan bagaimana pembahagian kek ekonomi negara. Dia sebut secara umum sahaja. Tidak pula sebut berapa peratus. Adakah Melayu 30 peratus. Adakah 40 peratus? Isu tanah Rizab Melayu juga disebut secara umum.
"Satu lagi yang saya nampak, parti Melayu dalam PH ini tidak upaya nak lawan DAP, walhal banyak lagi agenda Melayu dan bumiputera dia boleh masukkan. Rasanya Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera oleh kerajaan sedia ada jauh lebih baik daripada ini," katanya.
Beliau ditemui selepas beramah mesra dengan lebih 1,000 penduduk Kampung Banggol Che Wan, Meranti, Kelantan semalam.
Menurut Ibrahim, satu lagi kebimbangan beliau ialah hasrat PH yang dikatakan mahu memansuhkan Akta Hasutan yang akhirnya dikhuatiri membawa mudarat kepada agama Islam, orang Melayu dan bumiputera serta raja-raja Melayu.
Sumber- Utusan