Masa Terbaik BN Di Rhu Rendang


MARANG – Rhu Rendang dalam Parlimen Marang dianggap kawasan ‘lubuk’ Pas dengan kerusi tersebut dikuasai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak lebih tiga dekad lalu.

Sungguhpun ada yang melabelkan kawasan ini cukup hitam bagi UMNO dan Barisan Nasi­onal (BN), namun bagi penggerak parti sejati yang bertungkus lumus di kawasan itu, mengambil tanggungjawab bagi memenuhi kepentingan rakyat dan parti, mereka masih nampak bayangan kemenangan.

Dengan perubahan senario politik semasa, calon BN yang akan diletakkan di situ dilihat bukan lagi sekadar mencukupkan jumlah kerusi keseluruhan untuk ditandingi di negeri ini atau tidak menjadi suatu kemusykilan jika terus tewas.

Mereka berpendapat, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) me­rupakan peluang terbaik bagi BN untuk menang di kawasan yang dianggap sebagai simbol penguasaan dan tapak kekal Pas di negeri ini.

Kerusi itu yang dijangka tidak lagi akan ditandingi oleh Abdul Hadi apabila hanya tumpuan diberikan kepada kerusi Parlimen, maka perkataan ‘kemenangan’ bagi UMNO bukan lagi suatu yang mustahil untuk disebut.

Perpecahan dalaman Pas de­ngan sebahagian pemimpinnya keluar menerajui PAN membawa bersama sebilangan penyokong, memberi gambaran ketaksuban terhadap parti dan pemimpinnya sudah semakin longgar dan bukan lagi suatu dosa dan kesalahan untuk meninggalkannya.

Justeru masih ramai yang percaya BN memiliki peluang cerah untuk menguasai kerusi itu dalam persaingan yang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru, sekiranya kepentingan peribadi dan puak terus jadi perhitungan dalam parti sehingga bertindak sebagai petualang untuk memuaskan hati.

Kerusi BN di Rhu Rendang mulai berpindah tangan kepada Pas pada tahun 1982 (ketika itu DUN Marang) setelah calon BN ketika itu, Tengku Zahid Musa tewas kepada Abdul Hadi Awang (Pas) de­ngan majoriti 320 undi.

Bermula tahun itulah Abdul Hadi terus menapak dan setiap calon BN yang menentangnya tewas iaitu Abdul Latiff Muda, Abu Bakar Osman, Tengku Zainuddin Tengku Zahid, Razali Idris dan Nik Dir Nik Wan Ku.

Kini, selepas 36 tahun, banyak dalam kalangan pengundi mula menyuarakan harapan agar BN mengambil alih bagi memastikan nasib rakyat Rhu Rendang akan lebih diberi perhatian dan pemba­ngunan dipertingkatkan.

Pegawai Penye­la­ras Pemba­ngunan DUN Rhu Rendang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku menyifatkan Pas bukan cukup kuat cuma kemenangan parti itu berpunca UMNO dilemahkan oleh ahli parti sendiri.

“Saya percaya dalam PRU-14, Pas tidak lagi kebal dan pengaruh parti itu akan berakhir kali ini. Persaingan pastinya sengit namun saya yakin BN akan menang kali ini.

“Keyakinan ini berdasarkan tahap perpaduan dalam parti bersama semangat, komitmen yang ditunjukkan oleh semua jentera parti termasuk sayap wanita dan puteri serta veteran UMNO yang konsisten berada pada tahap tinggi,” katanya.

Menurut Nik Dir, UMNO di Rhu Rendang tidak pernah serik dengan kekalahan dan tidak pernah berpaling muka atau mengabaikan khidmat sosial kepada rakyat, malah terus berusaha menunaikan tanggungjawab agar kawasan ini terus mendapat pembelaan terutama dalam penyediaan prasarana lebih baik.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang memberitahu, selepas PRU-13 beliau bersama jentera secara berterusan telah turun padang, mendekati dan bertemu segenap lapisan masyarakat termasuk golongan muda.

“Kita telah mula bergerak mengikut beberapa fasa yang dirancang dengan melibatkan kerja-kerja yang menyentuh hati rakyat di DUN di samping menyusun semula mana-mana program yang terbengkalai dan merancang apa-apa kebaikan yang boleh te­rus dibawa ke Rhu Rendang.

“Kita menyelami kehidupan mereka, tidak kira fahaman politik mereka, melihat agar mereka yang berhak mendapat pem­belaan dan bantuan tidak tersisih, ketika kerajaan menyediakan pelbagai skim bantuan dan kemudahan,” ujarnya.

Malah, beliau memberi contoh, sepanjang tahun lalu, sebanyak 33 keluarga di Rusila menerima bantuan membabitkan baik pulih rumah dan atap dengan perbelanjaan hampir RM2 juta di samping 100 penduduk yang uzur terma­suk menghadapi penyakit kronik turut dibantu.

Tambah Nik Dir, berdasarkan reaksi rakyat yang makin nyata, beliau percaya Rhu Rendang akan menjadi milik BN dengan bantuan hampir 10,000 ahli UMNO sendiri, pengundi atas pagar dan pengundi Pas yang tidak berpuas hati terhadap parti yang didokong sekian lama.

“Kita bersaing dalam politik bukan untuk bermusuhan tetapi dengan hasrat menawarkan khidmat dengan banyak kebaikan untuk dibawakan kepada masyarakat setempat apabila diberi kepercayaan, bukan cuma untuk merebut kerusi dan jawatan,”ujarnya.

Sumber: Suara TV