SEBAGAI seorang bapa dan individu yang dikenali ramai, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama isteri, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan lagi perihal penyebaran gambar puteri sulung mereka beberapa hari lalu.
Mereka berdua dengan terbuka hati telah reda dengan apa yang telah terjadi walaupun mengikut perancangan, wajah dan nama puteri sulung itu akan diumumkan selepas tujuh hari dilahirkan.
“Pihak kami sudah memaafkan individu yang menyebarkan foto bayi kami. Tidak mahu menjadikan ia satu isu sebab saya dan Siti pun sudah reda,” kata Datuk K dipetik daripada portal mStar Online.
Individu yang menyebarkan foto itu dikenali sebagai Wan Noor Akmal Wan Yusof, juga merupakan seorang jurusolek itu telah memohon maaf secara terbuka dan bercadang untuk bertemu dengan keluarga Siti atas kesilapannya itu.
Foto anak sulung Siti telah tersebar di media sosial walaupun tidak sampai 24 jam bayi itu dilahirkan pada Isnin lalu.
Selepas tiga hari dilahirkan, Datuk K dan Siti turut mengakui bahawa puteri mereka tidak banyak kerenah kerana dia akan disusukan setiap dua jam sekali.
“Buat masa sekarang, bayi kami tak banyak kerenah. Biasalah kalau berjaga waktu malam pun hanya untuk berikan dia susu.
“Selepas itu, dia akan tidur semula dan Siti pun dapat berehat,” uajrnya lagi.
Bagaimanapun, penyanyi kesayangan negara itu masih lagi ditahan di wad untuk pemantauan doktor kerana ketika pembedahan dijalankan, Siti telah mengalami pendarahan.
Oleh itu, beliau masih berada di wad sehingga dua atau tiga hari lagi bagi menambah darah sebelum dibenarkan pulang.
Isnin lalu, puteri yang dinanti-nantikan itu telah selamat dilahirkan secara pembedahan kira-kira pukul 8:17 pagi dengan berat 3.55 kilogram.
Sebelum diumumkan nama sebenar, buat sementara waktu mereka akan menamakan puteri itu dengan nama Fatimah Az-Zahra.
Mudah-mudahan segala urusan Siti dan keluarga akan dipermudahkan. Semoga kesihatan Siti dan bayinya akan bertambah baik selepas ini.- Kedahnews.com