Menanti Calon Pembangkang Di Suka Menanti




Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata yang dahulunya dikenali DUN Alor Merah, bertukar nama kepada DUN Suka Menanti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.


Nama kawasan DUN itu bertukar susulan usul laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan pada Sidang Dewan Rakyat semalam.

Dalam undian belah bahagian itu, 129 ahli Parlimen mengundi bersetuju manakala 80 lagi membantah.

Walaupun nama DUN itu berubah, namun calon Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon PRU14, tidak mungkin berubah.

Seindah namanya, Suka Menanti tentunya menjadi fokus orang ramai pada PRU14 ini.

Ini kerana rakyat Kedah khususnya penduduk dalam Parlimen Alor Setar ternanti-nanti siapa pencabar BN di kawasan itu.

Suka Menanti dijangka akan dipertahankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang telah memenangi DUN Bakar Bata selama empat penggal sejak 1999 hingga sekarang.

Pada PRU ke-13 Ahmad Bashah yang juga Ketua UMNO bahagian Alor Setar memenangi DUN Bakar Bata, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat dan calon bebas dengan majoriti 895 undi.

Kali pertama bertanding di kawasan itu yang dikenali Alor Merah, Ahmad Bashah menang dengan kelebihan dengan majoriti 2,922 undi.

Pada PRU 2004, beliau menang dengan majoriti agak besar, iaitu 6,037 undi menewaskan calon PAS, Datuk Dr. Ismail Salleh yang kini Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah.

Manakala pada pilihan raya 2008 apabila PAS menyerahkan Bakar Bata kepada calon wanita dari PKR, Ahmad Bashah hanya menang dengan kelebihan 358 undi.

Malang pada tahun itu, walaupun Ahmad Bashah kekal di Bakar Bata, tetapi Kedah tumbang buat pertama kali kepada pembangkang yang diterajui oleh PAS.

Namun suasana politik negara dan negeri telah berubah.

PRU14 dijangka lebih mencabar dengan kehadiran gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Pakatan pembangkang itu dibantu oleh bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz yang digugurkan daripada kerusi Menteri Besar pada awal 2016 apabila hilang kepercayaan ADUN BN Kedah.

PRU14 juga menjadi 'ujian besar' bagi Ahmad Bashah kerana kedudukannya sebagai Menteri Besar, Pengerusi BN dan Ketua Perhubungan UMNO negeri.

Ahmad Bashah, bekas anggota Exco dan bekas timbalan menteri juga dijangka berdepan dua calon pembangkang - PAS dan PKR.

Bagaimanapun ada kemungkinan Ahmad Bashah akan dicabar oleh Mukhriz kerana beliau juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah dan Pengerusi Pakatan Harapan negeri ini.

Walaupun ianya mungkin satu andaian atau jangkaan umum, kehadiran Mukhriz itu dilihat untuk melunaskan 'dendam tak sudah' terhadap Ahmad Bashah yang mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini.

Jika pun Mukhriz tidak bersedia, namun ramai yang teruja untuk melihat siapakah tokoh daripada pembangkang yang akan mencabar Ahmad Bashah di Suka Menanti.

Walaupun Bakar Bata berubah nama, tetapi ramai yang berpandangan ADUNnya dijangka kekal. - Kedahnews.com