MERHROM Puji Artis Lawat Kem Pelarian Cox’s Bazar


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) menyambut baik lawatan oleh selebriti Malaysia ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, mereka berpeluang menyaksikan sendiri keadaan pelarian terbabit yang tidak bermaya dan sangat memerlukan keperluan asas.

“Sangat sukar untuk tinggal di kem pelarian walaupun selama sehari. Bayangkan bagaimana mereka boleh hidup di kem selama bertahun-tahun.

“Oleh itu, kami memuji selebriti yang menyokong kami. Anda memberi inspirasi kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Zafar Ahmad berkata, hari ini penyanyi dan komposer Faizal Tahir mengumumkan beliau akan melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar dan semalam Datuk Afdlin Shauki mengumumkan mahu mengumpul dana RM300,000 untuk mereka.

Kata beliau, sebelum itu Hijjaz telah melawat kem pelarian tersebut dan MERHROM turut mengucapkan terima kasih kepada Heliza Helmi diatas sokongan berterusan beliau.

“Terdapat ramai selebriti Malaysia yang menyokong kami dan kami harap mereka akan terus menyokong kami sehingga kami kembali ke tanah air,” katanya. – Kedahnews.com