MRA Terima RM21,500 Bantu Rohingya


KUALA LUMPUR - Usaha Malaysian Relief Agency (MRA) membantu pelarian Rohingya di Bangladesh, mendapat perhatian apabila badan bukan kerajaan (NGO) itu menerima sumbangan RM21,500, pada Jumaat

Sumbangan untuk Tabung Bantuan Rohingya MRA itu diberikan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRESTASI) Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata NGO itu menghargai sumbangan berkenaan yang akan disalurkan kepada pelarian Rohingya di Cox's Bazaar, Bangladesh.

Katanya, selain bantuan kecemasan, makanan asas dan perubatan, MRA turut menekankan usaha memberi pendidikan asas iaitu mengira, membaca dan menulis kepada anak pelarian Rohingya yang terpinggir di Malaysia dserta Cox's Bazaar.

"Ketika ini, MRA membuka satu lagi cawangan Sekolah Komuniti Rohingya di Sungai Petani, Kedah pada tahun lalu, selain terus memperkasakan tadbir urus dan kualiti pembelajaran Sekolah Komuniti Rohingya MRA di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur yang ditubuhkan sejak 2009.

"MRA juga membina sekolah sementara iaitu Sekolah Dhonnobad di Kem Pelarian Myonnaghonna di Cox's Bazaar, awal tahun ini yang memanfaatkan 250 anak-anak pelarian Rohingya.

"Kami mengalu-alukan sumbangan dana dan bantuan kemahiran serta nasihat teknikal daripada institusi pengajian tersohor seperti UPSI untuk memastikan bantuan pendidikan untuk komuniti pelarian ini terus mampan dan berkembang demi kelangsungan hidup mereka supaya dapat kembali ke bumi Arakan suatu hari nanti," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, sumbangan untuk Tabung Bantuan Rohingya MRA itu disampaikan Naib Canselor UPSI, Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran kepada Pengarah Bantuan Kecemasan dan Logistik MRA, Stein Van Lutam.

Penyerahan sumbangan itu dilaksanakan pada Majlis Makan Malam Amal Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) di UPSI dan disaksikan kira-kira 300 tetamu.

Mohd Daud berkata, individu, NGO atau badan korporat yang mahu menghulurkan sumbangan kepada pelarian Rohingya boleh menyumbang kepada Tabung Bantuan Rohingya MRA di akaun CIMB 86000 59478 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Sekretariat MRA boleh dihubungi di talian 03-91744672 atau melayari laman sesawang www.mra.my untuk maklumat lanjut.

Sumber: BH Online