Muafakat Dun Pantai Merdeka: Penanda Aras, Momentom Positif Kepimpinan Ahmad Bashah


BUKAN mudah untuk mentadbir sesebuah negeri apatah lagi dalam tempoh yang singkat, namun begitu bagi Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, segala cabaran itu dihadapi dengan tenang dan bijak menganjur kebajikan untuk rakyat di negeri ini.

Lawatan beliau ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Pantai Merdeka baru-baru ini jelas menunjukkan penerimaan baik terhadap kepimpinannya menerusi sambutan hangat dari pada rakyat di kawasan berkenaan amat ketara.

Selayaknya lawatan beliau melalui Jelajah Muafakat Rakyat ke Dun Pantai Merdeka menjadi penanda aras yang amat positif dengan kehadiran yang mencecah lebih 4,000 orang ramai yang meraikan Ahmad Bashah begitu menceriakan beliau.

Lebih menarik, penduduk Dun Pantai Merdeka begitu meriah bergotong royong bemuafakat bersama, bertepatan semangatnya dengan konsep muafakat dan kerjasama yang dipelopori Ahmad Bashah sejak beliau menerajui Kerajaan Negeri.

Para pegawai kerajaan di peringkat daerah juga tidak kekok untuk turun padang bersama, tanda jelas yang mendokong aspirasi kemuafakatan bersama kepimpinan Kerajaan Negeri dan masyarakat tempatan, selaras dengan terjemahan inisiatif Strategi Lautan Biru (NBOS).

Meneliti ucapan Ahmad Bashah bersempena lawatan tersebut, beliau mengimbau kembali kenangan ketika mana beliau menunaikan amanah sebagai Exco Kerajaan Negeri di zaman bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain, suatu ketika dahulu.

Katanya, Kerajaan Negeri dan dirinya ketika itu begitu komited bertungkus-lumus membangunkan semula aspek fizikal dan memulihkan psikologi penduduk setempat yang trauma akibat dilanda tragedi tsunami.


Pengumuman Ahmad Bashah kepada 126 keluarga mangsa tragedi tsunami yang ditempatkan di Taman Permatang Katong untuk tidak lagi membayar ansuran bulanan berkuatkuasa serta merta begitu melegakan dan menceriakan penduduk berkenaan.

Malah kata Ahmad Bashah, Kerajaan Negeri akan melunaskan pembayaran berkenaan kepada pihak bank bagi mengurangkan bebanan sara hidup ekoran penduduk di taman perumahan rata-ratanya adalah nelayan dan berpendapatan rendah.

Dari sudut politiknya, Ahmad Bashah sebenarnya merupakan individu yang mencipta keajaiban yang berjaya menyatu-padukan politik Barisan Nasional (BN) di Bahagian Sungai Petani yang pernah dilanda kemelut suatu masa dahulu.

Berdasarkan pengalamannya yang luas, kebijaksanaan, wibawa dan tahap kesabaran yang tinggi, beliau tuntas menggunakan "kesejukan" politik Kedah di semua peringkat menjelang pilihan raya.

Sebenarnya bukan calang-calang pemimpin yang mampu berbuat sedemikian, namun Ahmad Bashah dengan keistimewaannya yang tersendiri jelas mampu menjadi penaung atau "payung" kepada semua pihak yang terlibat di dalam gelanggang politik di negeri ini.

Selain itu, tahap ketahanan diri Ahmad Bashah untuk menghadiri setiap aturcara yang ketat pada lawatan di Dun Pantai Merdeka, termasuk sempat singgah mengunjungi jenazah dan berhenti di semua pekan kecil membayangkan bagaimana beliau meletakkan BN untuk sentiasa di depan, jauh mengatasi kemampuan semua parti atau gabungan pembangkang.

Dun Pantai Merdeka bukanlah satu-satunya lokasi yang dijelajahi Ahmad Bashah, malah beliau telah membuat lawatan di banyak Dun di negeri ini dalam tempoh yang singkat untuk meninjau sendiri "kerja buat" wakil-wakil rakyat BN di kawasan masing-masing.

Dun-Dun berkenaan bukanlah asing bagi dirinya, namun membuat tinjauan sendiri oleh Menteri Besar itu secara tidak langsung akan menyemarakkan lagi semangat Adun-Adun berkenaan yang selama ini bertungkus-lumus memberi khidmat terbaik untuk rakyat di kawasan mereka.

Sebagai contoh di Dun Pantai Merdeka, Dato' Ali Yahaya sendiri hadir mengiringi Menteri Besar Kedah itu, meraikan beliau dan melaporkan secara langsung tentang segala kerja buatnya selama lima tahun di kawasan tersebut.

Dengan kecekapan Ahmad Bashah dan kerajaan negeri, beliau mengumumkan bbrp kelebihan dan keputusan di bawah kepimpinannya yang berjaya menarik minat rakyat untuk bermuafakat bersama.

Apatah lagi segala yang dilaksana dan dianujurkan beliau sejak menerajui Kerajaan Negeri ini melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat, hakikatnya dasar-dasar yang diumumkan Menteri Besar itu jauh lebih dihargai rakyat marhain.


Berkonsep muafakat Kerajaan Negeri dan inisiatif-inisiatif NBOS yang melibatkan kepimpinan politik di peringkat Pusat, Negeri, Dun, pegawai-pegawai kerajaan, agensi, jabatan di pelbagai sektor dan rakyat itu sendiri, maka ia suatu fenomena yang begitu menarik untuk dinikmati bersama.

Politik halus atau "political finest" Ahmad Bashah dijangka melanda pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Jika pada PRU ke-13 lalu beliau yang mengepalai BN Kedah untuk kembali menyatukan parti dan memastikan Kerajaan Negeri dikuasai BN, beliau dijangka bakal mengulangi kejayaan tersebut pada PRU ke-14 ini nanti.

Namun apa pun, kemeriahan sambutan Dun Pantai Merdeka kepada Ahmad Bashah jelas memperlihatkan bahawa beliau sudah mampu berdikari sendiri sebagai pemimpin berjiwa rakyat tanpa bergantung kepada imej sesiapa.

Itulah perkembangan terkini Ahmad Bashah. Beliau bukan anak Perdana Menteri, namun anak jati Kedah itu lebih memahami jiwa, budaya, keperluan, kehendak dan nadi rakyat di negeri ini... - Kedahnews.com