Mufti Perlis Lancar Kempen Solat Subuh Berjemaah


KANGAR – Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin malam tadi melancarkan ‘Kempen Solat Subuh Berjemaah Di Masjid’ bagi menarik khususnya golongan muda mengimarahkan masjid.

Walaupun kesedaran umat Islam menunaikan solat subuh berjemaah di masjid meningkat, kempen tersebut merupakan pendekatan mesra selain melalui ceramah, katanya semasa melancarkan program anjuran Jabatan Mufti Perlis selepas kuliah Maghrib di Masjid Alwi di sini, malam tadi.

Mohd Asri berkata Jabatan Mufti turut menggunakan laman sosial seperti facebook dan mengedarkan pelekat berkaitan kempen itu kepada masyarakat Islam di negeri ini.

“Melalui usaha-usaha ini, Jabatan Mufti berharap semakin ramai umat Islam di Perlis akan bangun awal pagi untuk solat berjemaah di masjid serta membuat persiapan awal bagi sesuatu urusan mereka,” katanya. – Bernama