Mukhriz Dinasihat Jangan Buat Musuh Dengan Pegawai Kerajaan


JITRA - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Kedah (PPBM), Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak wajar membuat musuh dengan pegawai-pegawai kerajaan yang selama ini menjadi tonggak pelaksana dasar-dasar kerajaan sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, pegawai-pegawai awam di negeri ini begitu dedikasi dan profesional melaksanakan tanggungjawab mereka sama ada kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) atau PAS sebelum ini.


"Mengapa beliau (Mukhriz) perlu buat musuh dengan penjawat awam sedangkan merekalah yang banyak bantu beliau ketika menjadi Menteri Besar dulu meskipun hubungan agak kurang baik.

"Hampir sepenggal sebagai Exco Kerajaan Negeri, hampir 3 penggal sebagai Adun, saya lihat pegawai tadbir negeri dan kakitangan awam di negeri ini memainkan peranan besar dan dedikasi dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

"Memang benar ada yang tidak menyokong BN pun, tapi mereka tetap adil dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penjawat awam. Mengapa pula Mukhriz perlu pecat mereka?," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.


Suraya atau lebih mesra disapa sebagai "Kak Su" ditemui ketika menziarahi pesakit-pesakit dari daerah Pendang yang akan menjalani pembedahan katarak mata di bawah program "Cataract Finder" di Hospital Jitra, awal pagi ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu, PAS yang memerintah negeri ini selama sepenggal sebelum ini juga tidak pernah memecat mana-mana pegawai kerajaan yang menyokong BN atau parti politik lain.

"Masa zaman arwah Ustaz (Tan Sri) Azizan (Razak) dulu pun, beliau tak pernah pecat pun pegawai kerajaan. Dato' Seri Ahmad Bashah (Md Hanipah) sekarang pun tak pernah pecat mana-mana pegawai awam kerana politik.

"Kenapa pula dia (Mukhriz) nak pecat? Hanya kerana fahaman politik tak sama maka dia nak pecat mereka sesuka hatinya? Siapa yang ajar beliau mentadbir kerajaan begitu?," tempelak Kak Su, kesal dengan sikap sebenar Mukhriz itu.


Mukhriz baru-baru ini dilaporkan berikrar akan memecat semua pegawai tinggi kerajaan dalam tempoh 30 hari sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian dengan alasan kononnya pegawai-pegawai kerajaan di negara ini melindungi "penjenayah". - Kedahnews.com