Mukhriz, Parlimen Jerlun Dan Dun Ayer Hitam


ALOR SETAR - Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir yang berikrar tidak akan "lari" dan kekal bertanding di Kedah menamatkan spekulasi yang mengatakan beliau akan bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Perkembangan itu telah mencetus kembali persoalan tentang kerusi yang bakal menjadi pilihan beliau untuk bertanding pada PRU ke-14 ini, dan kemungkinan besar akan bertanding di Parlimen Jerlun.

Parlimen Jerlun merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN). Pada PRU ke-11, Ketua UMNO Bahagian itu, Dato' Abdul Rahman Ariffin tidak menghadapi masalah untuk menang bergaya di parlimen berkenaan.

Namun pada PRU ke-12, timbul kontroversi di kalangan akar umbi UMNO Bahagian berkenaan apabila tiba-tiba Mukhriz tercalon untuk bertanding di parlimen tersebut oleh Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Pencalonan Mukhriz di Jerlun ketika itu telah menimbulkan protes di kalangan akar umbi UMNO yang mempersoal tentang peranan Mukhriz untuk membantu rakyat di kawasan berkenaan, apatah lagi beliau tidak bermastautin di Kedah.

Berbanding dengan Abdul Rahman yang banyak menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan kebajikan rakyat Jerlun terus terbela, ramai yang khuatir khidmat Mukhriz tidak akan setanding sebagaimana wakil rakyat mereka yang sedia ada.

Namun menurut sumber di Parlimen itu, atas campur tangan "tangan ghaib" yang dikatakan mempunyai hubung kait yang rapat dengan Mukhriz, Abdul Rahman dan akar umbi UMNO di situ terpaksa akur dengan ketetapan tersebut serta terpaksa memastikan kemenangan anak bekas Perdana Menteri itu.


Pada PRU ke-12, dengan jentera "import", Mukhriz menang di parlimen Jerlun dalam pertandingan satu lawan satu mengatasi calon PAS, Idris Ahmad, dengan majoriti lemah 2,205 undi, meskipun bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang berkempen memastikan kemenangan anaknya.

Walau bagaimanapun, kebimbangan rakyat Jerlun tentang ketidakupayaan Mukhriz berkhidmat untuk mereka menjadi kenyataan apabila beliau dikatakan sangat jarang turun ke kawasan dan lebih banyak menghabiskan masa di ibu negara.

Malah setelah beliau diberi laluan mudah untuk memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, ramai Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian itu mengeluh kesah gara-gara Mukhriz yang ketika itu berjawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dilihat amat jarang mempeduli tentang urusan UMNO di Bahagian tersebut.

Lebih mengejutkan, Mukhriz juga dikatakan hanya "kenal muka", namun langsung tidak tahu nama AJK UMNO Bahagian dan jarang bergaul dengan rakyat Jerlun yang sebelum ini memberi undi kepadanya.


Namun begitu, keadaan itu reda buat seketika apabila Timbalan Menteri Kewangan II, Dato' Othman Aziz diberi mandat untuk bertanding di Parlimen Jerlun, manakala Mukhriz pula tercalon untuk mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam.

Sehari sebelum PRU ke-13 berlangsung, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan nama Mukhriz sebagai calon Menteri Besar sekiranya BN berjaya merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat.

Fakta sebenarnya, Mukhriz tidak mengetuai jentera atau mengepalai PRU ke-13 untuk BN Kedah, sebaliknya jentera BN Kedah ketika itu diketuai oleh Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Setelah BN berjaya menang di Kedah, manakala Mukhriz juga menang di Dun Ayer Hitam, beliau kemudian segera mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Bagi mereka yang tidak mengetahui fakta sebenar, mereka menyangka konon Mukhriz yang berjaya menewaskan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Namun, pendekatan Mukhriz yang jarang turun ke kawasan dan mengambil berat soal UMNO Bahagian Jerlun kembali menghantui rakyat dan akar mbi UMNO di situ meskipun beliau sudah bergelar Menteri Besar.


Mukhriz dilihat lebih banyak menghabiskan masa di ibu negeri selain menghadiri program-program yang dirancang untuknya, manakala lebih gemar "ghaib" pada hampir setiap hujung minggu.

Menurut sumber tempatan, Mukhriz berulang alik Alor Setar - Kuala Lumpur ekoran keluarganya yang enggan berpindah untuk menetap di Kedah dan lebih selesa untuk terus tinggal di kediaman mereka di ibu negara.

Keadaan tersebut berubah apabila Mukhriz disingkirkan dari jawatan Menteri Besar dan segala urusan kebajikan rakyat di kawasan Jerlun dikendalikan sepenuhnya oleh Adun Kota Siputeh, Dato' Abu Hasan Shariff yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, dan Othman selaku Ahli Parlimennya.


Setelah dipecat, Mukhriz pada awalnya dilihat barulah turun padang di sekitar Jerlun, namun kembali "hilang" dari Dun Ayer Hitam khususnya selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan dan menyertai Pakatan Harapan.

Biarpun Mukhriz dijangka bakal bertanding di Jerlun pada PRU ke-14 nanti, BN dan PAS dijangka tidak akan memberi muka lagi kepada Mukhriz dan akan memastikan Timbalan Presiden PPBM itu tewas teruk di parlimen berkenaan.

Apatah lagi melihat kepada kegagalan Mukhriz mempeduli tentang pembangunan, kebajikan dan jarang turun padang sepanjang tempoh beliau menjadi wakil rakyat di Parlimen Jerlun dan Adun Ayer Hitam sebelum ini, akar umbi di kawasan itu juga dikatakan tidak sabar untuk "mengajar"nya pada PRU ke-14 nanti.

Desas-desus turut mengatakan bahawa sekiranya Mukhriz tidak bertanding di Parlimen Jerlun, beliau juga dikatakan berura-ura untuk bertanding di kerusi lama bapanya di Parlimen Kubang Pasu atau Parlimen Merbok.

Namun begitu, terdapat juga desas-desus yang mengharapkan beliau bertindak "anak jantan" mencabar kerusi Padang Terap yang kini disandang Dato' Seri Mahdzir Khalid. Jika menang, Mukhriz akan dilabel "giant killer". - Kedahnews.com