Mukhriz Tiada Keyakinan, Perlu 'Dibimbing' Untuk Jadi MB Kedah?


Kejayaan BN mengambil alih semula Kedah daripada PAS pada PRU13 bukan kerana faktor 'kehebatan' Datuk Seri  Mukhriz Mahathir seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Kemenangan BN di Kedah adalah kerana kekuatan UMNO/BN dan majoriti rakyat menolak pembangkang.

Pendedahan bahawa Mukhriz menggunakan khidmat syarikat penganalisis data, Cambridge Analytica pada Pilihan Raya Umum Ke-13 secara peribadi, mengesahkan lagi perkara itu.

Ini juga membuktikan Mukhriz bukanlah calon pilihan terbaik ketika untuk menjadi Menteri Besar Kedah. Ramai pemimpin UMNO yang lebih kanan dan berpengalaman daripada beliau.

Bantuan daripada syarikat itu juga membuktikan Mukhriz tidak mempunyai keyakinan diri untuk menang dan menjadi Menteri Besar sehingga perlu dibantu oleh perunding bagi membina imejnya.

Namun Mukhriz telah membohongi rakyat  kononnya  khidmat nasihat itu disediakan oleh Barisan Nasional sedangkan wakil negara bagi SCL Group mengesahkan kepada kerajaan bahawa Cambridge Analytica memberi nasihat secara peribadi kepada Mukhriz sahaja.

Bekas pegawai media kepada Mukhriz semalam mengesahkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menggunakan khidmat nasihat untuk Kedah pada PRU-13.

Azrin Zizal yang berkhidmat menyediakan khidmat nasihat dan strategi kepada Mukhriz pada masa itu, meminta bekas Menteri Besar berhenti  memutar belitkan fakta, sebaliknya bersikap jujur kepada semua pihak.

Katanya, kenyataan Mukhriz sebelum ini mengenai khidmat nasihat Cambridge Analytica untuk kempen PRU-13 di Kedah atas arahan BN adalah tidak benar.

"Mukhriz berkata saya menjadi pegawai media beliau sehingga 2013, dan saya tidak lagi bersamanya ketika menjadi Menteri Besar Kedah. Ini semua tidak benar.

"Saya bekerja untuk Mukhriz dalam menyediakan nasihat strategi dan komunikasi kepadanya sehingga 2015 termasuk ketika PRU-13. Saya sedia membuktikan perkara ini.

Tidak sama sekali BN atau kerajaan mengupah atau bekerjasama dengan Cambridge Analytica atau syarikat induknya, SCL Group.

Akhbar semalam melaporkan BN tidak pernah menggunakan khidmat, mengupah atau membayar syarikat penganalisis data berkenaan sama ada sekarang atau sebelum ini untuk membantu kempen parti itu dalam pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun, Mukhriz dalam kenyataan di akaun Twitter rasminya semalam menafikan pernah menggunakan khidmat Cambridge Analytica.

Beliau juga menegaskan Azrin hanya bertugas sebagai pegawai medianya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 2009 hingga 2013.

Mukhriz diumum sebagai  Menteri Besar dua hari sebelum PRU13. Selain mendapat bantuan penasihat luar, Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu juga dibimbing  oleh bapanya Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh itu tidak hairanlah apabila Dr. Mahathir dilihat turun berkempen setiap masa di Ayer Hitam.

Namun panglima sebenar yang bekerja keras dan menyusun jentera BN bagi merampas semula Kedah ialah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana beliau adalah Pengerusi Perhubunngan UMNO dan BN negeri ketika itu. - Kedahnews.com