Musibah Dan Pantang Larang Nobat Di Alor Setar Kedah


Asal usul nobat telah diceritakan pada edisi lepas. Kali ini admin akan menceritakan mengenai pantang larang nobat yang ramai masih tidak tahu. Untuk pengetahuan pembaca setia, dalam pancaragam Nobat Diraja ini banyak pantang larang yang harus dituruti oleh para pemain dan juga orang ramai. Musibah ataupun bencana akan menimpa seseorang jika mereka melanggar pantang larang yang telah ditetapkan. 

Terdapat banyak pantang larang yang harus diketahui oleh orang ramai terutamanya oleh para pemain permainan nobat ini. Admin hanya akan mmberitahu enam pantang larang sahaja iaitu yang utama dan agak penting. Pertama alat-alat Nobat ini tidak boleh dipersendaan oleh sesiapa pun dan kedudukannya haruslah tetap pada satu satu kedudukan yang telah ditentukan serta tidak boleh diubah ke sana ke sini mengikut rasa hati kita. 


Kedua, semasa alat-alat Nobat ini hendak dibawa turun dari Balai Nobat untuk dimainkan di Balai Besa, dikatakan sesiapa pun tidak boleh melintas dihadapannya. Dalam permainan Nobat ini Mahaguru merupakan ketua atau penunjuk pada alat-alat Nobat yang lain dan dia mestilah dihormati serta di sanjungi. Kalau tidak nescaya mereka akan ditimpa bencana seperti sakit perut yang berlarutan dan menjadi-jadi sehingga dia menyesal diatas segala perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. 


Ketiga, sesiapa pun tidak dibenarkan memegang atau mengusik alat-alat Nobat ini. Keadaan ini biasa terjadi ketika Nobat Kedah dijemput untuk bermain di Kuala Lumpur sempena menyambut istiadat pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pertama. 

Menurut cerita, seorang kanak-kanak telah bermain alat-alat Nobat tersebut semasa kereta api yang membawa alat-alat Nobat berhenti sekejap di Bukit Mertajam. Kanak-kanak tersebut dipercayai telah kehilangan akal dan sakit telinga serta menangis tidak henti-henti. Setelah salah seorang pemain Nobat menjampi dan menyapu air ke seluruh muka kanak-kanak itu dengan serta merta kanak-kanak tersebut sedar semula. 


Keempat, sesiapa pun tidak dibenarkan melihat permukaan bawah gendang mahara kerana dipercayai diperbuat daripada kulit perut perempuan. 

Kelima, apabila alat-alat Nobat diturunkan dari Nobat ke tempat-tempat lain seperti Balai Besar misalnya, alat-alat tersebut perlu diturunkan mengikut tertib iaitu didahului oleh Semambu atau Mahaguru, serunai, gendang ibu, gendang anak, gong dan nafiri. Kemudian barulah diikuti oleh orang-orang Nobat. 


Keenam, kesemua pemain Nobat haruslah mengikut keturunan dan muzik Nobat selalunya diperturunkan kepada anak lelaki sahaja. Segala syarat yang dikenakan haruslah dipatuhi oleh para pemain Nobat. Apabila ayah atau seorang pemain Nobat hendak berhenti, dia perlu melatih anaknya di rumah terlebih dahulu dengan alat reka ganti yang dibuat. 

Setelah mahir barulah si anak dapat meggantikan tempat ayahnya dengan syarat ayahnya hendaklah membuat nasi kunyit dan dikemenyankan dan si anak harus memakan sekepal nasi kunyit sebelum dia bermain. Pakaian untuk permainan Nobat biasanya adalah hitam. 

Nobat merupakan satu-satunya alat yang termasyur dan mempunyai kebesaran yang agak membanggakan di negeri Kedah. Oleh itu, segala pantang larang Nobat haruslah dipatuhi untuk mengelakkan daripada sebarang bencana yang tidak diingini. Untuk pengetahuan semua, sehingga hari ini bangunan Balai Nobat masih kelihatan teguh dan terpacak megah di tengah-tengah bandar Alor Setar.