Nelayan Asing Ditahan Ceroboh Perairan Pulau Langkawi


ALOR SETAR - Sejumlah lima nelayan warga Indonesia ditahan ketika sedang mengendalikan sebuah bot dipercayai mengaut hasil laut negara di kawasan kedudukan 27 batu nautika daripada Pulau Perak di Pulau Langkawi, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi DM 1 Langkawi, Komander Nurulazme Zakariah berkata, dalam operas tersebut, bot yang digunakan nelayan asing terbabit turut dirampas dalam oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim).

“Ketika ditahan bot berkenaan disyaki bot nelayan asing sedang menangkap ikan.

“Lima awak-awak termasuk tekong berusia antara 28 tahun hingga 42 tahun kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, ketika disoal kesemua yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot tersebut dibawa ke jeti Bukit Malut untuk siasatan lanjut," katanya.

Kata Nurulazme, pihak Maritim memandang serius pencerobohan bot-bot nelayan asing di seluruh Malaysia kerana kesalahan tersebut memberi impak negatif kepada ekonomi nelayan setempat. - Kedahnews.com