ALOR SETAR - Ibu saudara kepada salah seorang mangsa nelayan yang hilang sejak ke laut 7 Mac lalu, dikatakan menerima panggilan daripada seorang lelaki warga Indonesia yang mendakwa menemui beg mangsa yang mengandungi kad pengenalan dan wang tunai RM50 serta kunci motosikal.
Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 1 Langkawi Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, beg itu dikatakan ditemui terapung di perairan Idi Cut Acheh, Indonesia.
Apa yang difahamkan, beg tersebut mengandungi dompet milik mangsa (Mohd Azrul Mohd Hassan, 24) yang mengandungi kad pengenalan dan wang tunai RM50 serta kunci motosikal.
“Turut ditemui oleh pemanggil berkenaan adalah sebuah ‘buoy’ yang juga terdapat kesan cecair seperti darah dan sehelai baju kemeja-T yang koyak rabak,” katanya.
Menurutnya, pihak MRSC (Maritime Rescue Sub Centre) Langkawi telah menghubungi pemanggil tersebut dan memintanya menyerahkan dokumen dan peralatan yang ditemui kepada pihak berkuasa terdekat.
Selain itu, Nurulazme memberitahu gerakan mencari ketiga-tiga nelayan itu dihentikan kerana tiada sebarang penemuan namun akan disambung semula jika ada petunjuk baharu.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama enam hari melibatkan dua kapal dan tiga bot.
Pencarian turut berjalan dengan bantuan pasukan selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasukan ROV (Remotely Operated Underwater Vehicle) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) namun tiada sebarang penemuan.
“Susulan itu, gerakan mencari ditamatkan pada jam 7 petang kemarin dan akan disambung semula sekiranya mendapat petunjuk baru,” katanya.
Sebelum ini, tiga nelayan dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah selepas keluar ke laut menangkap ikan sekitar Pulau Payar sejak 7 Mac lalu.
Difahamkan, tekong bot pukat tunda, Harif Fadelah Zainol, 58, bersama dua awak-awaknya, Abd Ghani Jusoh, 56, dan Mohd Azrul dijadualkan pulang pada 12 Mac selepas lima hari di laut.
Pada 15 Mac lalu, pemilik bot menyedari kehilangan tiga nelayan apabila bot pukat tunda miliknya tidak pulang ke jeti nelayan Kuala Kedah sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa. - Kedahnews.com