Nidzam Adzha Sedia Galas Tanggungjawab Perbaiki Kelemahan


ALOR SETAR - Penolong jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusof menyatakan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemangku Ketua Jurulatih Kedah, sekali gus membimbing pasukan berkenaan merangkul kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau berkata tumpuannya kini ke arah untuk memantapkan jentera serangan yang dilihat perlu diperbaiki dengan segera.

“Saya lebih bersedia membimbing pasukan kali ini dan bagi saya taktikal tidak banyak berubah, cuma tumpuan akan lebih kepada jentera serangan agar berlaku kelancaran di bahagian itu.

“Kita menjaringkan 10 gol dalam lima perlawanan, tetapi kita melepaskan 12 gol untuk tempoh sama. Kita juga perlu tingkatkan kemampuan di bahagian pertahanan,” katanya.

Pada Khamis Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Yusdi Madeinus Mohamad Yunus dalam satu kenyataan berkata Mohd Nidzam Adzha dilantik memangku jawatan selaku Ketua Jurulatih pasukan itu yang disandang Ramon Marcote sebelum ini.

Yusdi Madeinus dipetik sebagai berkata Marcote kini diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA bagi memantau projek pembangunan bola sepak sedia ada serta merangka persediaan skuad Hijau Kuning bagi tempoh jangka panjang.

Mengulas reaksi penyokong berikutan ada yang menyokong dan membantah keputusan dibuat KFA itu, Mohd Nidzam Adzha berkata perkara itu lumrah dalam bola sepak.

“Penyokong mempunyai pandangan mereka sendiri, susah nak satukan semua pandangan dan kita faham penyokong juga ada hak, pengurusan pun mahukan kemajuan pasukan sebagai tindakan untuk melonjak naik semula. Saya harap penyokong terus beri sokongan kepada pasukan Kedah,” katanya.- Bernama