KUALA LUMPUR - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) mencadangkan kerajaan memberi elaun khas kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, elaun itu seiring dengan sumbangan diberikan PBS dalam memberi bantuan awal sebelum pasukan bomba tiba.
“Dengan elaun ini, ia secara tidak langsung dapat menyuntik semangat anggota PBS menjalankan tugas dengan lebih baik.
“Mereka ini adalah barisan hadapan yang memastikan sesuatu keadaan seperti kebakaran berada dalam keadaan terkawal sebelum pasukan bomba tiba,” katanya pada Majlis Apresiasi Pasukan Bomba Sukarela di sini, semalam.
Pada majlis itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPM KL) meraikan sembilan pasukan PBS yang diwujudkan di sekitar ibu negara.
Turut hadir, Pengarah JBPM KL, Khirudin Drahman.
Lam Thye berkata, elaun yang dicadangkan kepada anggota PBS ialah RM6.50 sejam, sama seperti diterima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ketika bertugas.
“Pemberian elaun seperti ini diharap dapat menarik minat masyarakat, khususnya golongan belia menjaga keselamatan kawasan komuniti mereka,” katanya. - Bernama