Pakatan Harapan Tiada Pendirian Tentang GST - Ahmad Zahid


Penerimaan Pakatan Harapan (PH) terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam manifesto pilihan raya disifatkan sebagai  tidak berpendirian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian pembangkang tidak konsisten kerana sebelum ini mereka mempertikaikan GST namun kini mahu mengekalkannya selepas PRU-14.

“Dulu mereka mahu menolak GST, sekarang ini setelah mereka sedar bahawa GST merupakan salah satu elemen penting dalam ekonomi negara, sekarang mereka memasukkannya (dalam manifesto PH)
“Jadi mereka memang merupakan pemimpin dan parti yang konsisten untuk tidak konsisten (dengan pendirian). Mereka ini pemimpin flip-flop dalam memberi pendapat dan membuat keputusan.

“Saya harap rakyat dapat menilai (sikap) mereka dan menolak jika pemilihan (PRU14) dibuat kelak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Beliau mengulas tentang manifesto PH untuk PRU-14 yang diumumkan pada Rabu lalu antara lain mengekalkan pemberian bantuan BR1M kepada golongan B40 dalam tempoh lima tahun pembangkang membentuk Kerajaan Persekutuan.

Sistem cukai baharu atau GST turut tersenarai dalam manifesto pembangkang di mana mereka mahu memansuhkannya sedangkan sebelum ini ia mahu dikekalkan memandangkan ia mempunyai kepentingan kepada mekanisme ekonomi negara. 


Sumber: MalaysiaGazette