PAN Dirayu Beri Kerusi Pada Mahfuz Untuk Pertahan Pokok Sena


PAS bersimpati terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar jika ahli baharu Parti Amanah Negara (PAN) itu tidak diberikan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang..  

Walaupun Mahfuz tidak kisah tentang kerusi, namun jauh di sudut hati kecil beliau tentunya mengharapkan PAN akan menghargai usahanya sebelum ini yang memujuk penyokong PAS menyertai atau menyokong PAN dan Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan amat berharap Mahfuz diberikan kerusi oleh Pakatan Harapan untuk bertanding pada PRU14 bagi menentukan sejauh mana tahap sokongan rakyat kepadanya setelah tidak lagi bersama PAS.

Dalam katalain, PAS mahu melihat sama ada Mahfuz masih mendapat sokongan atau tidak selepas meniggallkan PAS yang disertainya selama lebih 30 tahun.   

"Adalah penting untuk memberi kerusi kepada Mahfuz untuk menentukan tahap sokongan rakyat kepadanya sama ada atas faktor peribadi atau parti, " kata Takiyuddin dalam satu kenyataan semalam.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu juga mencadangkan Mahfuz bertanding atas tiket PAN di Pokok Sena bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya dahulu.

Bagaimanapun Takiyuddin juga seperti pemimpin PAS yang lain tidak pula terkejut dengan tindakan  Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden PAS itu kerana beliau sudah sekian lama dilihat mesra dengan PAN dan parti dalam Pakatan Harapan lain.

"Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan berharap beliau diberi tempat untuk bertanding dalam PRU-14," katanya.

Mahfuz yang meninggalkan PAS hujung tahun lepas, mengumumkan secara rasmi menyertai PAN pada satu sidang akhbar di Bangunan Parlimen.

Kini ramai penyokong Mahfuz dan penyokong PAN Kedah ternanti-nanti  di mana Mahfuz akan bertanding  selepas PAN Pokok Sena dikatakan  telah mengenalpasti calon lain untuk mewakili parti itu  di kawasan berkenaan.

Selain itu, ramai juga ingin tahu apakah jawatan atau peranan yang akan diberikan kepada Mahfuz oleh PAN dan Pakatan Harapan sama ada di Kedah atau pusat, beradasarkan pengalamannya yang berjuang membela Islam semasa memimpin PAS. - Kedahnews.com