PAN, PPBM 'Dalang' Tolak Mahfuz Tanding Di Pokok Sena?


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini menyatakan diri tidak akan bersedih, malah bersyukur diringankan beban jika Pakatan Harapan tidak memilihnya untuk bertanding  semula di kawasan yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam hal ini, adalah wajar kepimpinan Parti Amanah Negara (PAN) di peringkat bahagian Pokok Sena untuk menolak beliau serta memilih calon dari kalangan ahli PAN.

PAN pula wajar memilih calonnya kerana Parlimen itu dikatakan akan diwakili oleh parti itu sedangkan Mahfuz yang meninggalkan PAS Disember tahun lepas belum bersedia untuk umum parti mana yang dipilihnya . 

Mahfuz juga tidak harus bersedih jika tidak terpilih kerana sejak awal lagi beliau mahu memberi fokus dalam memastikan kemenangan Pakatan Harapan, bukannya untuk menjadi calon pada PRU14.

Namun begitu 'ada cerita di sebalik yang cerita' tersembunyi di balik 'pokok sena'.

Mahfuz Omar seperti 'dicantas' oleh ahli parti PAN Kedah, khususnya di bahagian itu sendiri.
.
Pemainan oleh  tukang cucuk PAN itu dikatakan menyebabkan seluruh cawangan parti itu menolak Mahfuz untuk dicalonkan semula di Parlimen yang diwakilinya  sejak tiga kali.

Khabarnya hanya dua cawangan saja yang masih bersimpati dengan Mahfuz kerana mengenangkan jasa - jasa beliau sebagai ahli parlimen di kawasan itu.

Tidak dinafikan, walaupun Mahfuz tidak membawa projek pembangunan,  tetapi beliau membawa "suara hati" penduduk di kawasan itu ke Parlimen atau ke Dewan Negeri Kedah.

Oleh itu tidak wajar juga PAN menolak Mahfuz yang juga berjasa semasa berada di dalam PAS yang diceburinya selama 34 tahun.

Ada juga dakwaan 'dalang sebenar' yang menghasut PAN ialah  ahli -ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan Pokok Sena.

Sama ada benar dakwaan itu benar atau tidak, penduduk Pokok Sena termasuk ahli dan penyokong PAS tidak mahu lagi Mahfuz menjadi wakil rakyat mereka jika pembangkang menang.

Walaupun Pokok Sena telah diberi kepada PAN, kawasan itu juga dikatakan menjadi idaman PPBM dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

PPBM dan PKR juga merasakan calon mereka lebih layak untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan yang dikatakan menjadi kubu PAS selama tiga penggal.

Namun PAS juga menghadapi masalah untuk mengekalkan kawasan Parlimen itu setelah tidak lagi bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Pemimpin yang boleh menyelamatkan politik Mahfuz ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan.

 Mahfuz juga pernah berkata, hanya majlis presiden Pakatan Harapan yang boleh menentukan calon di sesuatu kawasan Parlimen bukannya bahagian atau negeri.

Semua orang tahu Mahfuz mula rapat dengan Dr. Mahathir sejak kalah dalam pemilihan PAS dan sebelum penubuhan PPBM dan Pakatan Harapan.

Baru-baru ini ahli Parlimen bebas Pokok Sena itu menafikan bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan kononnya ‘Pakatan Harapan terlalu rapuh’.

Ini berikutan terdapat poster yang tular di media sosial, terpapar wajah Mahfuz dengan kata-kata: 'Saya sendiri tidak tahu akan bertanding atau tidak, Pakatan Harapan terlalu rapuh'.

Mahfuz berkata kenyataan palsu itu disebar pihak tertentu bagi menjejaskan hubungan baik antara dirinya dengan pimpinan Pakatan Harapan.

“Saya tidak pernah kata macam itu, tak pernah anggap gabungan itu terlalu rapuh dan bagi  saya, Pakatan Harapan begitu mantap dan pimpinannya adalah negarawan sebenar kerana telah mengenepikan dendam politik lamanya, " kata Mahfuz. - kedahnews.com